Kemungkinan RUU ke-3 berkaitan syariah, kali ini daripada BN

Jamil-Khir_law_bn_600KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mencadangkan rang undang-undang (RUU) sendiri akan dibentangkan bagi memperkasakan Mahkamah Syariah, usul ke-3 selepas RUU persendirian yang dikemukakan presiden PAS dan wakil rakyat Amanah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan sedang mengkaji rancangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan hukuman ke atas penjenayah syariah kepada penjara 3 tahun, 6 sebatan dan denda RM5,000.

“Jika pindaan itu diluluskan Parlimen, kerajaan ingin mencadangkan penjenayah syariah dijatuhkan hukuman, termasuk melakukan khidmat masyarakat,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) sambil menambah akta itu tidak dipinda sekian lama.

Kok meminta perdana menteri menyatakan jika Kabinet sudah membincangkan RUU yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mei lalu, susulan kenyataan menteri dan kumpulan berkepentingan lain terhadap rancangan itu.

RUU yang sebahagian besarnya dilihat sebagai langkah PAS memperkenalkan hudud di Kelantan, dijadual dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini, dan berada dalam senarai ke-5 Kertas Perintah Parlimen.

Hadi dan menteri Umno lain berkata, RUU itu bertujuan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah, bukan untuk memperkenalkan hudud.

Jawapan Jamil itu susulan pengumuman Amanah pada Isnin lalu untuk membawa RUU persendirian yang akan menjadi alternatif kepada usul Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Amanah antara lain berkata, RUU mereka mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai ketua hakim Mahkamah Syariah dari setiap negeri, profesioanl dan agamawan serta pihak berkuasa berwajib.

Parti serpihan PAS itu menolak RUU Hadi sebagai “retorik” politik, manakala Umno pula belum membuat sebarang pendirian rasmi berhubung perkara itu.

Pada 26 Mei lalu, Hadi membentangkan usul RUU persendirian untuk meminda akta itu di Dewan Rakyat bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah, khasnya mengenai hukuman.

Azmin mahu kesepakatan untuk usul syariah Amanah

 

Amanah kemuka cadangan balas kepada usul Hadi