Bukan ‘kandang’, kerajaan Perak puji rumah kebajikan OKU

rusnah

BATU GAJAH: Kerajaan Perak semalam mempertahankan sebuah rumah kebajikan menjaga orang kurang upaya (OKU) selepas gambar viral menunjukkan beberapa penghuni dikurung di dalam kompartmen menyerupai kandang.

Exco Kebajikan Masyarakat, Datuk Rusnah Kassim berkata pihak yang menyiarkan laporan tersebut seharusnya tahu membezakan antara kompartmen dan “kandang”.

“Ini bukan kandang kerana ia tidak tertutup penuh, tetapi lebih kepada kompartmen untuk keselamatan penghuni,” katanya dipetik Bernama.

Rusnah menyelar mereka yang menyebarkan perkara itu sebelum mengetahui kebenaran.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak turut memuji Rumah Kebajikan Kanak-kanak Cacat Perak (RKKC) selepas pelbagai komen menyusuli laporan sebuah laman yang menunjukkan bagaimana beberapa penghuni di situ ditempatkan di dalam “kompartmen” berpagar.

Pengerusi JKM Perak, Rosmahwati Ishak berkata RKKC berjaya mengekalkan rekod pengurusan terbaik sejak penubuhannya pada 1991, dan lesennya dilanjutkan sehingga 2021.

Sementara itu, Pengerusi RKKC, R. Sivalingam berkata mereka terpaksa memisahkan tempat tidur 10 penghuni yang mengalami sakit mental kronik bagi menjaga keselamatan 35 penghuni lain pada waktu malam.

“Sekiranya mereka ini dibiarkan tidur bersama penghuni lain, mereka boleh bertindak luar kawalan termasuk memukul atau menggigit penghuni lain,” katanya kepada Bernama.

“Selain itu, mereka tidak dibiarkan begitu sahaja, tetapi tilam serta selimut juga disediakan untuk tidur.”

Menurutnya, mereka yang ditempatkan dalam “kompartmen” itu adalah orang dewasa berumur antara 20 hingga 40 tahun, tetapi tampak kecil disebabkan masalah yang dialami.

Kementerian siasat laporan OKU dikurung dalam kandang