Putrajaya rujuk pertikaian tanah Orang Asli Kelantan ke peguam negara

Putrajaya rujuk pertikaian tanah Orang Asli Kelantan ke peguam negara

Menteri P Waytha Moorthy berkata kerajaan merujuk peguam negara tentang bagaimana melindungi hak tanah Orang Asli.

Free Malaysia Today
P Waytha Moorthy berkata Putrajaya komited selesaikan masalah Orang Asli di Kelantan.
PETALING JAYA:
Putrajaya berkata ia komited mencari penyelesaian kepada pertikaian tanah antara Orang Asli di Gua Musang, Kelantan dan pihak berkuasa negeri, mengatakan ia berhubungan dengan peguam negara berkenaan bidang kuasa hal ehwal tanah.

“Malang sekali tanah bawah bidang kuasa negeri,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy. ”

“Tetapi kita merujuk kepada peguam negara tentang bagaimana melindunginya,” katanya pada forum bertemakan kaum dan etnik hari ini.

Putrajaya menberi jaminan itu selepas penguatkuasa mengalihkan sekatan yang didirikan oleh Orang Asli Temiar pada Ahad, yang didirikan untuk menghalang syarikat-syarikat pembalakan dan perladangan menceroboh penempatan mereka.

Pentadbiran PAS di Kelantan bertegas tanah yang dituntut oleh Orang Asli milik kerajaan negeri, dan lesen dikeluarkan untuk aktiviti pembalakan.

Awal bulan ini, kira-kira 200 Orang Asli bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta kerajaan persekutuan mencampuri pertikaian mereka dengan kerajaan Kelantan.

Waytha berkata bukan Orang Asli sahaja yang menemuinya sejak dilantik.

“Kumpulan minoriti di Sabah dan Sarawak ada bertemu saya dan mengadu hak mereka diketepikan,” katanya.

Beliau berkata kementerian berusaha memastikan Putrajaya menandatangani Konvensyen Antarabangsa Menentang Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) PBB.

“Konvensyen itu satu kerangka yang baik untuk membimbing kita menegakkan perpaduan dan mempromosikan masyarakat bebas diskriminasi kaum dan agama,” kata Waytha.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.