44 mercun, bunga api sudah dibenarkan undang-undang, Putrajaya jawab Adun DAP

Mercun dan bunga api mendapat permintaan tinggi sempena musim Tahun Baru Cina. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Putrajaya berkata 44 jenis mercun dan bunga api dibenarkan dijual, selepas seorang ahli politik DAP menyeru kerajaan menarik balik larangan import menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Timbalan Menteri Azis Jamman berkata pada 2014, 12 jenis mercun berjenama “Happy Boom” boleh dijual.

“Sejak itu hingga hari ini, sebanyak 44 jenis mercun diuji, dinilai dan dibenarkan dijual untuk pesta,” kata Azis.

“Happy Boom” antara 2 jenis mercun dan bunga api yang boleh dijual di Malaysia, yang lain adalah “Pop Pop”.

Pengunaan mercun pesta dikawal Akta Bahan Letupan.

Terdahulu, Adun Bercham, Ong Boon Piow menggesa kerajaan menarik balik larangan import mercun dan bunga api bagi membanteras penyeludupan.

Beliau berkata mercun dan bunga api memeriahkan lagi suasana pesta dan lebih berkesan dikawal jika ia dibenarkan undang-undang.

Beliau berkata membolehkan jualan mercun dan bunga api menyumbang kepada hasil kerajaan dan mengurangkan peluang rasuah.