
Wakil persatuan, Zaki Abdul Manan mendakwa hampir 90% pekerja di pasar tersebut warga asing.
“Bukan kita tak nak ambil pekerja tempatan, tetapi mereka tidak berminat. Tempat tak ‘glamour’ dan kerja kotor.
3D bermaksud “dirty, difficult and dangerous” (kotor, sukar dan bahaya).

“Kita bayar pekerja tempatan RM80 ke RM100 sehari, tetapi mereka tak tahan dan kerja tidak lama,” katanya kepada FMT.
Pada 16 Mac lalu, 112 warga asing yang dipercayai menguasai aktiviti penjualan di Pasar Borong Selangor, ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan.
Operasi bersepadu yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman itu menyaksikan 198 warga asing diperiksa.
Mereka disyaki berniaga dan bekerja secara haram, kebanyakan mereka menyalahgunakan pas lawatan.
Seramai 66 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) dicekup atas pelbagai kesalahan imigresen.
Imigresen turut menahan 46 orang pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk siasatan lanjut.
Pekerja-pekerja ini dari Bangladesh, Vietnam, Nepal, dan Myanmar, termasuk etnik Rohingya.
Zaki mendakwa, kebanyakan pekerja asing yang ditahan tiada permit kerana permohonan majikan tidak diluluskan kerajaan.
Katanya, ramai peniaga dan pemborong berusaha mendapatkan pekerja asing yang sah, tetapi sukar disebabkan masalah birokrasi.
“Pekerja saya ada permit, tetapi untuk lain sektor. Saya ada 3 pekerja, dan 2 ditahan kerana permit kerja mereka untuk sektor lain.
“Mereka ada permit tetapi untuk sektor perladangan, kilang dan bangunan. Mereka berhenti kerana kadang-kadang gaji tak tetap,” kata Zaki, yang sudah 10 tahun jadi pemborong di pasar tersebut.
Zaki juga mendedahkan kewujudan warga asing bergelar “tauke”.
Warga asing ini, katanya, menyewa lot daripada peniaga tempatan yang sudah tua dan tidak ada ahli keluarga yang sanggup mengambil alih perniagaan tersebut.
“Ada peniaga berumur 60 dan 70 tahun, sudah tidak larat buat kerja dan keluarga mereka pun tak mahu sambung niaga, jadi mereka bagilah sewa kepada warga asing.
“Tetapi taklah ramai. Adalah 4 atau 5 peniaga begitu,” katanya.
Seorang peniaga di Pasar Borang Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Zack berkata, dia pernah emohon permit untuk dapatkan pekerja asing tetapi tidak diluluskan.
Katanya, ramai lagi peniaga yang senasib dengannya.
“Jadi kita terpaksalah guna pekerja asing tanpa permit sebab mereka sahaja sedia bekerja.
“Kerajaan bagi mereka duduk, tetapi tak bagi kerja. Jadi, mereka nak jadi pengemis atau jadi samseng?” katanya.
Zack yakin Pasar Borang Selangor boleh maju sekiranya masalah seperti kekurangan pekerja tempatan dapat diatasi.
Bagaimanapun, katanya, jika masalah begini berpanjangan, tidak mustahil pasar ini terpaksa ditutup akibat ketandusan pekerja, kekurangan pelanggan dan kesulitan peniaga dan pemborong membayar dewa.
Katanya, kini pun sudah 70% peniaga dan pomborong di sini sudah tidak berniaga, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada mereka terus tutup kedai atau untuk sementara sahaja.
“Pelanggan juga mula merungut sebab apabila banyak kedai tutup, bekalan ikan pun sangat kurang” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Kompleks Pasar Borong Selangor, Pongot Sajab berkata sejak operasi Jabatan Imigresen 16 Mac lalu, pendapatan kebanyakan peniaga dan pemborong kurang 30%.
Beliau berkata ini juga berpunca daripada kekurangan tenaga kerja.
“Kita ada 260 lot jual ikan, ayam dan sayur. Peniaga dan pemborong di hampir semua lot itu rugi 30%,” katanya.
Pongot berkata hasil pertemuan dengan pihak peniaga dan pemborong, satu kertas kerja akan dikemukan kepada pihak berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan imigresen bagi menyiasat dan mengatasi masalah yang dihadapi peniaga dan pemborong di pasar tersebut.
“Kita juga mahu mengetahui kuota pekerja asing yang boleh mendapat permit di Pasar Borang Selangor ini,” katanya.