Calon bebas lapor polis ahli Parlimen PKR agih kupon makanan di Rantau

Calon bebas lapor polis ahli Parlimen PKR agih kupon makanan di Rantau

Malar Rajaram yakin Dr Michael Teo akan dikenakan tindakan kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

mengagihkan kupon makanan berjumlah RM75,000 kepada 300 pelajar daripada 5 sekolah di Rantau, pada 30 Mac lalu.
SEREMBAN:
Calon bebas, Malar Rajaram membuat laporan polis hari ini bagi menggesa siasatan ke atas Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengagihkan kupon makanan percuma kepada pelajar miskin di Rantau.

Beliau merujuk tindakan wakil rakyat PKR itu mengagihkan kupon makanan berjumlah RM75,000 kepada 300 pelajar pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Rantau.

“Saya mahu beritahu orang ramai, polis dan Suruhanjaya Pilihan raya supaya mereka (pihak berkuasa) boleh menelitinya. Tanpa laporan polis, pihak berkuasa tidak boleh menyiasatnya.”

Malar turut memberi amaran kepada 5 sekolah terbabit supaya memulangkan kupon makanan itu sebelum 8 April ini.

“Jika tidak, saya akan failkan laporan polis terhadap 5 sekolah itu kerana ianya satu pelanggaran syarat pilihan raya,” katanya kepada FMT selepas membuat laporan polis terhadap Teo di Balai Polis Seremban 2 hari ini.

Lima sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan Sendayan, SK Siliau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min Kuala Sawah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kombok dan Rantau.

Malar berkata, salinan laporan polis itu sudah diserahkan kepada SPR dan beliau yakin tindakan akan diambil terhadap Teo.

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan ia adalah satu kesalahan pilihan raya untuk menjamu sesiapa makanan dan minuman, memberi bekalan keperluan, wang, tiket atau perkara lain secara rasuah untuk mempengaruhi mereka mengundi pada pilihan raya.

Sabtu lalu, SPR dilaporkan berkata, tindakan Teo pada hari pencalonan itu agak kabur dari segi undang-undang kerana Akta Kesalahan Pilihan Raya tidak menjelaskan maksud “sebelum” pilihan raya.

Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 turut mempersoalkan tindakan Teo.

Teo sebelum ini dilaporkan berkata, program pengagihan kupon makanan itu diadakan atas permintaan calon Pakatan Harapan bagi PRK Rantau, Dr Streram Sinnasamy selaku penyelaras PKR di kawasan itu.

Selain Streram, Malar berdepan saingan calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan dan seorang lagi calon bebas, Mohd Nor Yassin pada 13 April nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.