Noor Hisham jumpa PM esok bincang keputusan PKP

Noor Hisham jumpa PM esok bincang keputusan PKP

Perkembangan tersebut akan menjadi penentu kepada tempoh PKP sama ada ia dilanjutkan atau tamat pada 14 April.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dijangka bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
PUTRAJAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dijangka bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pagi esok untuk menyampaikan pandangan dan taklimat terkini jangkitan Covid-19.

Perkembangan tersebut akan menjadi penentu kepada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada ia dilanjutkan atau tamat pada 14 April ini.

“Saya akan jumpa perdana menteri (pada) pagi.

“Keputusan akan diumumkan oleh perdana menteri, esok,” katanya kepada media, hari ini.

Noor Hisham berkata JP Morgan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan kes Covid-19 akan mendadak di Malaysia pada pertengahan bulan ini.

Oleh itu, beliau akan bertemu dengan pakar berkaitan mengenai unjuran kes dalam masa 2 minggu akan datang.

“Kami akan memberi nasihat kepada perdana menteri dan Kabinet mengenai langkah-langkah yang sesuai,” katanya sambil menambah fokusnya adalah untuk memperkuat kapasiti dan keupayaan untuk merawat Covid-19.

Sebelum ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baru Khamis ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Peraturan baru itu, katanya, berkemungkinan akan dipecahkan mengikut zon positif Covid-19 bagi memberi kelonggaran kepada rakyat untuk bergerak bagi memastikan wabak itu tidak menular.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham memaklumkan 4.9% pesakit Covid-19 dimasukkan ke ICU dengan 30% memerlukan sokongan pernafasan, manakala kadar pesakit pulih dari ICU adalah sekitar 40% hingga 50%.

Beliau berkata kerajaan turut merujuk beberapa pesakit bukan Covid-19 untuk dirawat di hospital swasta, termasuk Institut Jantung Negara (IJN).

Jelasnya, kadar yang dikenakan hospital kerajaan kepada kerajaan atas kadar rundingan dan bukan kadar biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.