
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata buat masa ini KKM sedang melihat dari segi jenis kawasan dan kumpulan yang berisiko tinggi mempunyai Covid-19.
“Kita tahu kumpulan berisiko tinggi adalah himpunan tabligh di Sri Petaling, sekolah tahfiz dan sekarang pekerja asing.
“Terutamanya di kawasan zon merah di Kuala Lumpur dan Selangor. Kita punya polisi adalah sekarang untuk pastikan mereka dibuat ujian saringan Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, kerajaan memutuskan semua pekerja asing di semua sektor diwajibkan menjalani saringan Covid-19, ekoran peningkatan kes positif melibatkan kalangan pekerja asing, susulan kes di tapak pembinaan di Ampang.
Kos ujian itu perlu ditanggung majikan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Sebelum ini, KKM mengumumkan mengesan 1 lagi kluster baru, selepas 28 kes positif dikesan di satu tapak pembinaan di Kuala Lumpur.
Kluster itu dinamakan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur. Kementerian Kerja Raya sudah menutup tapak tersebut.