
Ketua penerangannya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, jika terbukti PN masih belum didaftarkan seperti didakwa Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman, beliau mendedak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pencalonan bawah gabungan itu termasuk pada Pilihan Raya Negeri (Sabah).
“Seandainya PN masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak SPR mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon bertanding bawah tiket PN.
“Pilihan raya adalah platform penting buat rakyat menggunakan hak mereka sebagai warganegara. Mereka berhak memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jika calon dibenarkan mewakili sebuah pertubuhan haram bertanding ia adalah penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah.
Terdahulu, Syed Badli mendakwa sehingga kini PN masih belum berdaftar dengan JPPM.
“Setakat jam 2.22 pagi 14 September 2020, tiada rekod berkaitan berjaya dipaparkan.
“Semakan seterusnya ke atas nama ‘Perikatan Nasional’ atau ‘Prikatan Nasional’ turut tidak menemui sebarang rekod daftar.
“Justeru saya menggesa JPPM memberikan pencerahan apakah status pendaftaran parti Perikatan Nasional,” katanya.
Pada 10 Ogos lalu, permohonan untuk mendaftarkan PN sebagai gabungan parti, dilaporkan sudah dihantar kepada JPPM.