
Gambar terakhir dalam kamera Kenji Nagai, 50, diambil ketika bantahan antikerajaan diperoleh portal berita Democratic Voice of Burma (DVB) yang hari ini memulangkan kamera itu kepada keluarga Nagai di Bangkok.
Pasukan keselamatan Myanmar menahan ribuan orang ketika demonstrasi diketuai sami itu yang juga antara bantahan terbesar terhadap pemerintahan tentera. Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh.
Dalam video itu, Nagai mengambil gambar penunjuk perasaan di pusat komersial Yangon dan ketibaan sebuah trak tentera sebelum mengalihkan lensa ke arah dirinya sendiri.
Kakaknya Noriko Ogawa berharap video itu akan meningkatkan kesedaran mengenai tahap keganasan di Myanmar, yang dicetuskan pihak tentera apabila merampas kuasa pada 2021 selepas pemerintahan demokrasi selama sedekad.
“Dengan ini saya berharap orang ramai sekali lagi memberi perhatian terhadap Myanmar, dan masyarakat dunia sedar bahawa sesuatu perlu dilakukan,” katanya kepada media di Bangkok.
Beliau berkata kamera dan rakaman itu akan dipulangkan kepada Jepun untuk dianalisis dan membantu dalam siasatan kematian adiknya itu.
Pengasas bersama DVB, Aye Chan Naing enggan mengatakan bagaimana organisasi itu memperoleh kamera Nagai bagi memastikan keselamatan semua pihak terlibat.
Nagai maut ketika tentera tentera melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan.
Rakaman yang diseludup keluar dari Myanmar pada 2007 menunjukkan seorang anggota tentera mengacukan senapang terhadap Nagai yang kemudian dilihat rebah. Jurugambar Reuters turut mengambil gambar Nagai terbaring atas jalan.
Ketika itu pihak berkuasa Myanmar mendakwa kejadian terhadap Nagai satu kemalangan, manakala kerajaan Jepun tidak dapat menyimpulkan beliau ditembak mati pada jarak dekat.