
Katanya, surat itu diserahkan selepas beliau menghadap Sultan Perak di Istana Kinta 3 petang tadi.
“Tentunya pengalaman ini adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran,” katanya pada sidang media di Laman Darul Ridzuan hari ini.
Timbalan presiden PPBM itu dilantik ke jawatan itu selepas pilihan raya umum pada Mei 2018 untuk mengetuai kerajaan negeri Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, kerajaan negeri PH tumbang Mac lalu, apabila PPBM meninggalkan gabungan itu untuk membentuk Perikatan Nasional.
Faizal dilantik untuk penggal kedua pada 13 Mac lalu dengan sokongan 32 Adun, termasuk wakil rakyat Umno.
Semalam, Adun Pengkalan Bharu dari Umno, Abd Manap Hashim membawa usul undi percaya terhadap Faizal di DUN, tetapi hanya 10 Adun menyokong berbanding 48 Adun bantah dan 1 undi rosak.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi yang terdiri daripada 25 Adun Umno, PPBM (5), PAS (3), dengan sokongan daripada seorang wakil rakyat bebas dan Gerakan, manakala pembangkang merangkumi DAP (16), Amanah (5) serta PRK (3).
Faizal berkata, beliau sudah melakukan yang terbaik untuk Perak dan memohon maaf bagi pihak pentadbiran negeri.
“Saya mendoakan Perak sentiasa dirahmati Allah, dijauhi segala bala dan bencana, dan rakyatnya dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Perjalanan ini masih jauh dan panjang. Jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan menteri besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang daripada anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat.”
Beliau berkata, semua exco negeri turut digugurkan susulan peletakan jawatannya dan pihak istana akan menentukan tarikh peletakan jawatannya berkuat kuasa.
Ditanya sama ada beliau menyimpan dendam kerana hilang sokongan majoriti Adun, katanya, tiada balas dendam dalam politik kerana setiap perkara boleh diselesaikan.
“Namun, inilah reaksi yang tidak kita ingini apabila berlaku (usul undi percaya) pada sidang DUN baru-baru ini kerana kita tidak dirundingi sebelum sesuatu perkara dibuat.
“Saya juga dituduh tidak merunding ketika melantik setiausaha politik, tetapi itu perkara jauh berbeza.”
Beliau berharap nasib yang menimpanya tidak berlaku kepada negeri lain dan kerajaan persekutuan.