Angkat sumpah 5 exco hari ini, untuk segerakan mesyuarat kerajaan pertama

Angkat sumpah 5 exco hari ini, untuk segerakan mesyuarat kerajaan pertama

Mesyuarat kerajaan pertama perlu disegerakan untuk meneliti Belanjawan 2021 yang patut dibentang Rabu.

(Gambar Bernama)
KUALA KANGSAR:
Angkat sumpah jawatan lima exco Perak akan dijalankan pada petang ini juga, tidak lama selepas pelantikan menteri besar baharu, bagi menyegerakan mesyuarat kerajaan yang pertama untuk meneliti Belanjawan 2021 yang patut dibentang pada Rabu.

Sultan Nazrin Shah bersetuju lima ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing di Istana Iskandariah pada 2.30 petang ini.

“Oleh kerana masa yang agak suntuk maka sebuah kerajaan terlebih dahulu perlu ditubuhkan,” kata Menteri Besar Saarani Mohamad pada sidang media pertamanya tadi.

Mengikut undang-undang tubuh negeri, kerajaan perlu ditubuhkan dengan sekurang-kurangnya empat orang ahli MMKN.

Saarani bagaimanapun enggan mengulas daripada parti mana kelima-lima Exco berkenaan akan dilantik, sebaliknya meminta media menunggu sehingga majlis selesai.

Ditanya sama ada belanjawan yang akan dibentang Rabu depan akan mempunyai pindaan, Saarani menolak perkara itu.

“Saya tidak fikir kita ada masa untuk meneliti atau mengubah apa-apa isi kandungan dalam buku belanjawan yang telah pun dirangka dan dibincangkan bersama sebahagian daripada Exco lama, termasuk saya.

“Saya faham dan tahu apa yang terkandung dalam buku itu, bermakna kita tidak akan mengubah apa-apa, hanya secara formaliti. Kita akan meluluskannya di peringkat Exco untuk dibawa dalam sidang DUN,” katanya.

Pembentangan Belanjawan Negeri 2021 yang sepatutnya dibuat semalam terpaksa ditangguh sehingga Rabu depan berikutan krisis politik di negeri itu yang belum selesai.

Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid semalam menangguhkan sidang DUN berikutan tiada menteri besar dan Exco yang dilantik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.