Jual lembu curi untuk Aidiladha, penjawat awam, rakan ditahan

Jual lembu curi untuk Aidiladha, penjawat awam, rakan ditahan

Suspek terbabit ditahan susulan aduan diterima daripada dua lelaki yang masing-masing kehilangan seekor lembu pada 16 April dan 28 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Mispani Hamdan, berkata pihaknya percaya ada rangkaian sindiket mencuri lembu yang aktif ketika musim ibadah korban. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang penjawat awam dan rakannya yang juga warga Indonesia disyaki terlibat secara aktif dengan penjualan lembu curi bagi bekalan Aidiladha di sekitar Jasin, Melaka, sejak April lepas.

Ketua Polis Daerah Jasin, Mispani Hamdan, berkata dua lelaki berusia 53 dan 42 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumah masing-masing di Kelubi kira-kira 4 petang semalam.

Katanya, tangkapan itu susulan aduan diterima daripada dua lelaki yang masing-masing kehilangan seekor lembu ternakan pada 16 April dan 28 Mei lalu di Kesang.

“Siasatan mendapati lembu itu dijual kepada seorang peraih di Krubong dengan harga RM2,700 dan RM1,400.

“Kedua-dua suspek turut dipercayai menggunakan surat kebenaran asli daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pergerakan menjual lembu kepada peraih,” katanya menurut laporan Bernama.

Mispani berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek warga asing itu direman 14 hari manakala seorang lagi dilepas dengan jaminan polis berikutan mempunyai masalah kesihatan.

Polis juga masih meneruskan siasatan kes kecurian lembu susulan menerima satu lagi laporan semalam mengenai kehilangan tujuh lembu di Kesang Pajak dengan anggaran kerugian RM15,000.

“Kita percaya terdapat rangkaian sindiket mencuri lembu di kawasan Kesang yang aktif ketika musim ibadah korban sempena perayaan Aidiladha,” kata Mispani.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.