Hero Malaysia sepanjang 2021

Hero Malaysia sepanjang 2021

2021 melabuhkan tirai dengan pelbagai kisah yang menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Petugas barisan depan atau ‘frontliner’ antara wira sebenar yang sanggup bergadai nyawa, tenaga dan masa demi memerangi wabak Covid-19 melanda dunia sejak 2 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Walaupun 2021 mungkin disaji dengan banyak berita buruk disebabkan pandemik Covid-19 yang berterusan dan banjir terburuk melanda negara baru-baru ini, namun masih terdapat banyak kisah yang menjadi sumber inspirasi.

Ramai rakyat Malaysia dan segelintir institusi negara memberi impak positif terhadap kehidupan orang lain.

Berikut FMT senaraikan beberapa individu dan pihak yang telah mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat serta memberi inspirasi sepanjang 2021.

Azwan Omar

Hanya berbekalkan RM50 dalam poketnya dan sebuah bot yang diangkut di atas bumbung kereta Perodua Viva, seorang anak Melaka, Azwan Omar menjadi tajuk berita bulan lalu apabila sanggup meredah kepayahan untuk menyelamatkan mangsa banjir di Selangor.

Operator mesin berusia 29 tahun digelar “Abang Viva” yang tular di media sosial itu kemudiannya menyelamatkan mangsa banjir di Temerloh dan Mentakab, Pahang.

Dia turut diberi penghormatan oleh Ketua Menteri Sulaiman Md Ali yang menganggapnya sebagai “hero orang Melaka” selepas menunjukkan keberanian dan sikap kesukarelawanan untuk membantu insan tidak dikenali yang terperangkap dalam banjir.

Kuan Chee Heng

Kuan Chee Heng dan seorang pembantu semasa pelancaran ambulans ke-8 Community Policing Malaysia hari ini.

Kuan Chee Heng, dikenali sebagai “Uncle Kentang” oleh mereka yang mengikuti aktiviti kebajikannya dalam talian, telah diberikan penghormatan menerusi Anugerah Komanwel Points of Light di atas sikap dermawannya.

Anugerah terbabit diberikan setiap minggu kepada individu dari negara-negara komanwel sebagai penghormatan atas kerja komuniti mereka. Wira kebajikan itu menjadi salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang diberi penghormatan itu sejak diwujudkan pada 2018.

Uncle Kentang dan organisasi yang diasaskannya, Communiti Policing Malaysia, yang bertanggungjawab atas beberapa usaha bantuan bertujuan membantu masyarakat paling rentan, seperti perkhidmatan van jenazah RM1, perkhidmatan ambulans yang murah, penghantaran makanan kepada orang miskin, program “pasar 10 sen” yang diwujudkannya di mana beliau menjual pakaian, perkakas dan buku hasil derma orang ramai kepada orang miskin.

Dr Serena Nik-Zainal

Saintis Malaysia berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Serena Nik-Zainal telah menerima anugerah Francis Crick Medal dan Lecture 2022 oleh The Royal Society pada Ogos atas “sumbangan besar” terhadap kajian punca barah.

The Royal Society adalah akademi sains negara UK. Ia mengiktiraf Serena di atas analisisnya mengenai tanda-tanda mutasi pada genom barah, yang kini digunakan dalam terapi kanser.

Serena turut menjadi tumpuan pada 2019, apabila menerima Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner, yang dianggap sebagai Hadiah Nobel untuk penyelidikan kanser, kerana penyelidikan cemerlangnya mengenai tafsiran genom kanser.

Lee Zii Jia

Bintang badminton yang semakin menyinar ini muncul sebagai pemain badminton perseorangan lelaki ketiga Malaysia yang menjuarai All England.

Pemain Kedah itu menjinakkan pemegang gelaran Viktor Axelsen dalam tiga perlawanan sengit untuk memenangi kejohanan badminton tertua di dunia itu pada Mac, dengan pencapaian terbesar pemain nombor satu negara itu sebelum memenangi Terbuka Taipei Cina 2018.

Pemain perseorangan lelaki Malaysia terakhir yang memenangi gelaran All England ialah Lee Chong Wei, yang menjulang trofi diidamkan pada 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Kuala Lumpur City FC

Kuala Lumpur City FC mengejutkan juara bertahan Liga Super lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memenangi Piala Malaysia pada November selepas menang 2-0.

Kejayaan itu menandakan kejayaan keempat KL dalam kejohanan itu dan ia mengejutkan peminat dan pakar apabila ramai yang memilih gergasi bola sepak tempatan JDT sebagai pasukan pilihan untuk menjulang piala.

Kemenangan itu mengakhiri penantian selama 32 tahun buat KL dan ia lebih diingati apabila kejohanan paling berprestij negara itu menyambut ulang tahun ke-100 tahun ini.

Petugas barisan depan

Petugas barisan depan atau ‘frontliner’ antara wira sebenar yang sanggup bergadai nyawa, tenaga dan masa demi memerangi wabak Covid-19 melanda dunia. Mereka adalah insan yang bekerja tanpa jemu sejak dua tahun lalu yang turut menyaksikan beberapa siri gelombang jangkitan dan varian baharu.

Meski penat dan lelah akibat lonjakan kes Covid-19 pada 2021, terutamanya di Lembah Klang, mereka memainkan peranan penting dalam mengurangkan kes dan melancarkan usaha besar-besaran program vaksinasi negara dalam mencapai 90% populasi divaksin.

Kini, dengan kebimbangan varian baharu Omicron, mereka memerlukan kerjasama semua rakyat untuk mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Kempen Bendera Putih

 

Kempen “#BenderaPutih” adalah inisiatif rakyat bagi membantu mereka yang sangat memerlukan bekalan makanan dan bantuan lain susulan krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19 yang semakin buruk ketika negara berdepan sekatan pergerakan pada Jun.

Kempen yang tular di media sosial itu mengajak individu, terutama isi rumah yang bergelut dengan masalah kewangan supaya meminta pertolongan tanpa rasa takut atau malu dengan mengibarkan atau menggantung bendera putih di depan rumah sebagai isyarat memerlukan bantuan segera.

Bank makanan diwujudkan di seluruh negara dalam usaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat sekatan Covid-19 termasuk yang dibuang pekerjaan dan hilang punca pendapatan.

Masjid Bandar Bukit Raja

 

Meski belum dibuka sepenuhnya, Masjid Bandar Bukit Raja menjadi tuan rumah kepada lebih 1,000 mangsa banjir tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit atau kepercayaan.

Mohd Zulkifli Othman, Presiden persatuan yang terdiri daripada 32 penduduk di Bandar Bukit Raja itu segera membuat panggilan kepada Md Nazri Mohamed Nor, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Bukit Raja.

Mereka berdua bersetuju untuk menjadikannya pusat pemindahan sementara kepada penduduk di kawasan itu selepas kediaman mereka ditenggelami air pada 18 dan 19 Dis lalu.

“Saya tidak kisah sama ada mereka beragama Buddha, Kristian atau Islam. Alhamdulillah, di Bandar Bukit Raja, hubungan kami seperti satu keluarga,” kata Zulkifli kepada FMT.

Gurdwara Sahib Petaling Jaya

Di bawah bumbung rumah ibadat Sikh di sini, warga Lembah Klang pelbagai agama, termasuk Muslim, bergotong-royong menyediakan makanan untuk mangsa banjir, sekali gus mengenepikan sentimen “halal ke tidak” yang cuba dimainkan sesetengah pihak di media sosial.

Antara yang turun ke Gurdwara Sahib Petaling Jaya untuk membantu memasak, ialah bekas Menteri agama, Zulkifli Mohamad untuk menghantar mesej jelas kepada pengkritik di media sosial.

Penampilan penganut pelbagai agama memotong sayur-sayuran, membantu memasak dan membungkus makanan untuk dihantar kepada mangsa menzahirkan keakraban antara pelbagai kaum ketika krisis.

Rakyat Malaysia

Meski seluruh negara dilanda krisis kesihatan dan bencana alam atau apa jua keperitan yang perlu dilalui bersama, sifat murah hati rakyat Malaysia tiada tandingannya.

Sifat kebersamaan dan berganding bahu ditonjolkan rakyat sepanjang 2021 dalam menghulurkan pelbagai bentuk bantuan antara satu sama lain memberi mesej jelas bahawa perpaduan wujud tanpa mengira kaum dan agama.

Walaupun ramai mengkritik kerajaan kerana dianggap gagal melindungi kebajikan rakyat semasa wabak atau menyelamatkan mangsa terperangkap akibat banjir, rakyat Malaysia tetap membuktikan bahawa mereka sentiasa bersedia untuk membantu, menghulurkan tangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.