Penyimpangan suhu antara punca pembaziran vaksin di PPV, PSV, kata menteri

Penyimpangan suhu antara punca pembaziran vaksin di PPV, PSV, kata menteri

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata maklumat dan data kerugian perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan betul dan tepat sebelum dimaklum kepada umum.

Sehingga 18 Feb, KKM menempah sebanyak 88.1 juta dos vaksin Covid-19 dengan anggaran kos berjumlah RM4.72 bilion untuk kegunaan populasi dewasa, remaja dan kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, antara punca pembaziran vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) dan pusat simpanan vaksin (PSV) adalah disebabkan oleh penyimpangan suhu yang berlaku menyebabkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 terjejas.

Dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong), Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM dari semasa ke semasa sentiasa memantau dan menyemak secara terperinci jumlah kerugian disebabkan bekalan vaksin yang rosak serta puncanya.

Katanya, maklumat dan data kerugian perlu diteliti secara terperinci untuk memastikan ia betul dan tepat sebelum dimaklumkan kepada umum.

“Pada masa ini, KKM sedang menjalankan proses kompilasi serta verifikasi maklumat pelupusan vaksin dan proses ini dilaksanakan secara berterusan sehingga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selesai,” katanya.

Lim bertanyakan jumlah dos vaksin mengikut jenis vaksin yang perlu dilupuskan dan sebab-sebab pelupusan berkenaan serta kos perolehan vaksin sejak 2020.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Garis Panduan Pengurusan Produk Vaksin Covid-19 di fasiliti kesihatan telah dikeluarkan dan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan vaksin dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang, polisi dan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Garis panduan ini telah menetapkan keperluan PSV dan PPV untuk melaporkan sebarang insiden melibatkan pengurusan produk yang telah atau berpotensi menjadi pembaziran atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial yang mendakwa vaksin Covid-19 tamat tempoh diberikan kepada penerima.

Bagaimanapun, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim menafikan dakwaan itu dengan menegaskan tiada stok vaksin Covid-19 yang tamat tempoh dibekalkan ke PPV atau PSV seperti yang ditularkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, sehingga 18 Feb, KKM menempah sebanyak 88.1 juta dos vaksin Covid-19 dengan anggaran kos berjumlah RM4.72 bilion untuk kegunaan populasi dewasa, remaja dan kanak-kanak.

“Sebanyak 88.1 juta dos yang ditempah bersamaan dengan 143.13% atau 46.03 juta penduduk dewasa, remaja dan kanak-kanak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.