Penganalisis kritik harapan PN untuk Pahang pada PRU15

Penganalisis kritik harapan PN untuk Pahang pada PRU15

Penganalisis berkata, ia akan menjadi tugas agak mustahil untuk PN menang lebih banyak kerusi.

Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, gabungan itu mempunyai peluang cerah untuk mencapai prestasi lebih baik pada PRU15.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik mengkritik dakwaan Perikatan Nasional (PN) mampu meningkatkan jumlah kerusi negeri dan Parlimennya di Pahang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mereka berkata, pemimpin gabungan Bersatu “lemah” berbanding rakan komponen PAS.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Bersatu perlu berdepan dengan ahlinya yang berpaling tadah ke Umno.

Tahun lalu, dua pemimpin Bersatu Pahang meninggalkan parti itu untuk menyertai Umno, sementara 32 ahli pulang ke pangkuan Umno semula pada Februari.

Azmi Hassan.

“Ahli hilang harapan terhadap kemampuan Bersatu untuk menawan semula Putrajaya dan negeri yang mereka pernah tadbir,” katanya kepada FMT merujuk kekalahan PN dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor.

Azmi berkata, hanya PAS mampu mengekalkan lapan kerusinya. PN hanya mempunyai satu kerusi Parlimen di Pahang, iaitu Indera Mahkota yang diwakili Saifuddin Abdullah, pengerusi PN negeri dan menteri luar.

Katanya, PN akan menentang Umno dan Barisan Nasional yang bersatu. “Ia akan menjadi tugas yang agak mustahil bagi PN.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PAS akan memenangi lapan atau lebih banyak kerusi, khasnya di kawasan luar bandar dan konservatif.

Oh Ei Sun.

Katanya, sasaran pilihan raya Saifuddin “sangat tidak realistik” berdasarkan keadaan semasa Bersatu. “Sasaran itu sekadar seruan untuk ahli Bersatu sebelum menyertai pertarungan.”

Oh dan Azmi berkata, rakan komponen Gerakan tidak akan dapat menyumbang sebarang kerusi kepada gabungan itu.

Tidak seperti MCA dan MIC yang boleh bergantung kepada penyokong Umno yang menyokong mereka, Azmi berkata, Gerakan tidak boleh bergantung kepada Bersatu yang “lemah” untuk mendapatkan bantuan.

Oh berkata, impian Presiden Gerakan, Dominic Lau untuk membantu PN kekal impian.

Semalam, Saifuddin mendakwa gabungan itu mempunyai peluang cerah untuk mencapai prestasi baik pada PRU15 dan menambah kerusinya di negeri itu kerana ia merancang bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.