Pisah kuasa peguam negara, pendakwa raya sebelum PRU15, kata Ahli Parlimen

Pisah kuasa peguam negara, pendakwa raya sebelum PRU15, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, dua individu berbeza perlu memegang jawatan masing-masing bagi mengelakkan tuduhan seperti pendakwaan terpilih.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu tinggalkan satu lagi legasinya sebelum Parlimen dibubarkan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hanya boleh dilaksanakan selepas satu pindaan Perlembagaan Persekutuan diluluskan bagi memisahkan jawatan peguam negara dengan pendakwa raya.

Beliau berkata, dua orang yang berbeza perlu memegang jawatan itu masing-masing, bukan seperti sekarang di mana Idrus Harun menjadi peguam negara dan sekaligus menjadi pendakwa raya.

“PM perlu mendengar rasa tidak puas hati ahli, pemimpin Umno dan penyokong tegar Najib Razak, Rosmah Mansor dan Ahmad Zahid Hamidi yang menuduh berlakunya pendakwaan berpilih-pilih atas konflik kedudukan tersebut.

“Jangan ikut jalan penyelesaian yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said kerana ia adalah langkah mundur ke belakang dan boleh menjerumuskan Malaysia menjadi seperti Filipina di bawah diktator Marcos dan Indonesia, Suharto,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu membubarkan Parlimen sekarang.

“Semua parti politik boleh bersetuju dalam hal ini, sama ada Umno dan Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional termasukkah Pejuang dan Gerakan Tanah Air.

“PM perlu tinggalkan satu lagi legasinya sebelum Parlimen dibubarkan,” tambahnya.

Susulan pengumuman Bajet 2023 akan dibentangkan awal tiga minggu, iaitu pada 7 Okt, spekulasi tercetus bahawa PRU15 mungkin diadakan seawal November ini.

Mandat kerajaan pimpinan Ismail berakhir Julai tahun hadapan dan PRU harus diadakan pada atau sebelum 16 Sept 2023.

Bagaimanapun, Ismail enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi pilihan raya diawalkan susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum itu yang dikatakan membincangkan isu berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.