Mahkamah tetap 5 Okt pengurusan kes rayuan Rosmah ketepi sabitan

Mahkamah tetap 5 Okt pengurusan kes rayuan Rosmah ketepi sabitan

Isteri bekas PM itu memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak.

Pada 1 Sept lalu, Rosmah Mansor dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, serta penjara 10 tahun lagi jika ingkar. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Okt bagi pengurusan kes rayuan Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yin Tinn berkata, beliau dimaklumkan mengenai tarikh itu apabila peguam bela Rosmah, Akberdin & Co, menyampaikan salinan notis rayuan anak guam mereka awal minggu ini.

Rosmah memfailkan rayuan pada 2 Sept, sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, serta penjara 10 tahun lagi jika ingkar.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu sebelum ini gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kesnya.

Permohonannya itu dibuat atas alasan yang dikaitkan dengan kebocoran dokumen didakwa “draf penghakiman” bagi kesnya.

Zaini mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga tuduhan rasuah selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Rosmah, 70, didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar terbabit.

Dia juga menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, serta RM1.5 juta lagi juga daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Bagi setiap tiga kesalahan itu, Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmah. Hukuman akan berjalan serentak, bermakna dia hanya akan dipenjarakan selama 10 tahun.

Jika gagal membayar denda RM970 juta, dilaporkan sebagai jumlah terbesar pernah dikenakan terhadap seseorang pesalah, Rosmah akan dipenjarakan 10 tahun lagi.

Bagaimanapun, Zaini membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu, sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.