
Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5.15 petang semalam memaklumkan lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 58, disyaki tidak sedarkan diri.
“Polis dengan dibantu sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Port Dickson kemudian memecahkan mangga hadapan pintu jeriji rumah dan melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan. Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lukut mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa lelaki mempunyai sejarah rawatan darah tinggi manakala isterinya tiada sebarang sejarah rawatan kesihatan.
Katanya, polis tidak menemukan sebarang unsur perlakuan jenayah dalam kejadian itu.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.