3 maut terperangkap dalam kebakaran di Kuching

3 maut terperangkap dalam kebakaran di Kuching

Menurut jurucakap bomba Sarawak, semua mangsa ditemukan terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai lemas selepas terperangkap dalam asap tebal dan mayat dihantar untuk ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut, kata bomba. (Gambar Facebook)
KUCHING:
Tiga individu termasuk dua wanita ditemukan maut setelah terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Gita di sini, malam tadi.

Mangsa yang maut ialah bekas Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Affendi @ Pandi Keli, 69, anaknya Aneeqa, 35, dan anak saudaranya Nor Hasyidah Ajis, 22.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.03 malam, dan kesemua mangsa ditemukan terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan.

“Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati rumah teres dua tingkat berstruktur kekal itu terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah turut terbakar sebahagiannya, selain empat kenderaan turut musnah.

“Ketiga-tiga mangsa dipercayai lemas selepas terperangkap dalam asap tebal,” katanya dalam kenyataan.

Jurucakap itu memaklumkan operasi mengawal serta memadam kebakaran berakhir pada jam 11 malam dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.