
Katanya, tidak wajar inisiatif ditarik semula selepas dijanjikan oleh kerajaan yang juga majikan kepada penjawat awam hanya kerana berlaku perubahan kerajaan.
Beliau berkata, antara inisiatif yang perlu dikekalkan termasuk kenaikan gaji tahunan (KGT) khas RM100 bermula Januari 2023; bantuan khas kewangan RM700, pada Januari 2023; bantuan khas kewangan untuk pesara RM350 dan bantuan khas Aidilfitri RM600 bermula Mac 2023.
“Kerajaan tidak boleh menarik semula inisiatif tersebut setelah segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab sebagai jentera pentadbiran negara.
“Istilah pisang berbuah dua kali seharusnya tidak ada dalam kamus penjawat awam kerana kekecewaan yang berlaku pada 2018 masih lagi berbekas dan disebut-sebut sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata, Cuepacs berharap pertimbangan dan kebijaksanaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk terus mengekalkan segala kemudahan yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.
“Dalam masa yang sama Cuepacs yakin semua Ahli Parlimen memberi sokongan kepada YAB perdana menteri semasa sesi pembentangan belanjawan mini pada 19 Dis ini,” katanya.
Pada 30 Ogos lalu, perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan inisiatif dituntut Cuepacs itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) yang dihadiri kira-kira 4,000 anggota perkhidmatan awam.
Beliau berkata, KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan membabitkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.