Penonton lari ke kawasan dekat trek di pusingan akhir, kata penganjur kereta lumba

Penonton lari ke kawasan dekat trek di pusingan akhir, kata penganjur kereta lumba

Penyelaras pertandingan itu berkata pada awal perlumbaan pihaknya memastikan tiada penonton berada di kawasan terbabit.

Tangkap layar kemalangan melibatkan dua kereta ketika perlumbaan yang menyebabkan seorang penonton maut di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Semua aspek keselamatan diambil kira ketika perlumbaan kereta di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Perak semalam, tetapi penganjur berkata, ada penonton berlari ke kawasan berdekatan trek pada pusingan terakhir.

Ia susulan kematian Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, ketika dirawat di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, akibat parah di kepala dan mengalami pendarahan di paru-paru, selepas dirempuh sebuah daripada dua Proton Satria yang bergesel sebelum hilang kawalan ketika perlumbaan.

Penganjur perlumbaan “CCT Battle of Champion” itu ialah Yano Autopart dan penyelarasnya, Yano Al-Mahadzir berkata, 10 marshall yang diberikan taklimat sebelum perlumbaan bermula, ditempatkan di enam seksyen ketika perlumbaan.

“Pada awal perlumbaan, pihak kami pastikan tiada penonton yang berada di kawasan itu (kawasan berumput di mana mangsa dan beberapa penonton dalam video tular kelihatan berdiri).

“Tapi pada pusingan terakhir, mereka berlari dari kawasan tengah litar dan menghampiri kawasan berdekatan trek itu,” katanya menurut Harian Metro.

Yano berkata, mereka menganjurkan perlumbaan di Litar Dato’ Sagor setiap dua atau tiga tahun dan ini kali pertama kemalangan jiwa berlaku sepanjang hampir 10 tahun pihaknya menguruskan perlumbaan kereta di litar itu.

“Memang saya sendiri menyewa ambulans dari Teluk Intan setiap kali pertandingan dan saya berurusan sendiri dengan doktor yang juga pemilik ambulans itu.

“Ini kali pertama kami hadapi insiden sebegini. Apabila mangsa dilanggar, doktor segera buat pemeriksaan dan lakukan rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya yang mengakui tayar penghadang di litar tidak mencukupi.

Pengendali Litar Dato’ Sagor, Cilik Motorsport melalui wakilnya yang hanya dikenali sebagai Razali berkata, jumlah tayar penghadang di litar masih kurang kerana mereka baru menyewa litar itu daripada Majlis Daerah Perak Tengah pada 2022.

“Ketika kami mula ambil alih tugas sebagai operator litar ini pun, tiada tayar penghadang langsung. Jadi, apa yang ada ketika ini kami sendiri tambah, namun saya sendiri akui ia belum mencukupi.”

Beliau berkata, pihaknya sudah menasihati penganjur menilai keadaan litar dan menambah baik faktor keselamatan sebelum pertandingan.

“Kami sudah sediakan ‘grandstand’, maka pastikan penonton berada di situ untuk keselamatan mereka. Jika tayar penghadang tidak cukup, tambah. Itu tanggungjawab penganjur,” katanya yang enggan mengulas lanjut insiden semalam kerana tidak berada di tempat kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.