Dituduh politikkan agama, Hadi pertahan cara PAS

Dituduh politikkan agama, Hadi pertahan cara PAS

Presiden PAS berkata kenyataan Saifuddin Nasution Ismail jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf.

Abdul Hadi Awang berkata, negara masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik.
PETALING JAYA:
Setelah dituduh mempolitikkan agama di pentas PKR, Presiden PAS Abdul Hadi Awang tampil mempertahankan bahawa perjuangan parti Islam itu adalah berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas.

“Inilah asas agama yang menjadi pegangan PAS dan perjuangannya. Adakah kerana perkara ini, maka PAS dituduh memperalatkan agama,” katanya dalam kenyataan.

Hadi turut menggesa PKR kembali kepada al-Quran dan mendapatkan petunjuk Allah susulan kenyataan yang dibuat setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail bahawa ahli parti itu sepatutnya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama.

Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR semalam, Saifuddin mengetengahkan kenyataan Hadi yang menurutnya dibuat secara jelas menentang titah diraja supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik.

“Memang dalam Islam ada politik, tapi kita dituntut berpolitik secara agama, bukan mempolitikkan agama,” kata Saifuddin.

Mengulas perkara itu, Hadi berkata kenyataan Saifuddin jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf.

Tambahnya lagi, apa yang berlaku ketika ini, negara masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik.

“Malah, raja-raja hanyalah ditugaskan supaya menjaga agama sahaja,” katanya.

Terdahulu Hadi dilapor menegaskan, bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, Hadi berkata adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.