
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, baru-baru ini, mendakwa Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail cuba membatalkan keputusan Rafizi dalam pemilihan parti, tahun lalu.
Rafizi berkata, perkara itu bukannya isu selain bantahan melibatkan keputusan pemilihan dibuat pihak dikaitkan dengan bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador.
“Saya terkejut jika pemimpin pembangkang merasakan ini akan menggugat PKR. Beliau memandang ringan lamanya kami bersama. Cubaan baik untuk alih perhatian, namun ia tidak mampu menjejaskan pilihan raya (negeri),” kata menteri ekonomi itu ketika ditemui.
“Bezanya, tidak seperti parti lain, kami boleh tidak bersetuju. Saya tak semestinya setuju dengan Saifuddin, malah saya juga ada berbeza pendapatan dengan perdana menteri (Anwar Ibrahim), ia perkara biasa.
“Kebetulan dalam Bersatu (beza pandangan) tidak wujud dan oleh itu mereka fikir ini buruk bagi PKR, sambil mengandaikan ia seperti mereka, memberi kesan (keruntuhan) kepada parti.”
Rafizi berkata, Saifuddin memainkan peranan penting membantunya pulang ke Malaysia dari United Kingdom pada 2003 ketika beliau menerima ancaman penangkapan. Katanya, Saifuddin membantunya masuk ke Malaysia dari Singapura ketika itu.
Hamzah mendakwa Saifuddin bertemunya kurang seminggu selepas Rafizi menang dengan kelebihan besar majoriti dalam perebutan jawatan timbalan presiden.
Saifuddin nafi dakwaan itu, sambil menyatakan beliau bertemu Hamzah untuk membincang dan menjelaskan isu berkaitan pemilihan PKR.
Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata, ulasan Dr Mahathir Mohamad berhubung “negara gagal” dalam pentadbiran Anwar sudah dijangka kerana sikapnya kini mesra dengan Perikatan Nasional.
“Jadi saya yakin sebenarnya rakyat boleh menilai apabila Dr Mahathir hadir di atas pentas PAS dan Bersatu, ia lebih kepada pertemuan geng-geng emosi,” katanya.