Laporan ketua audit dibentang dalam mesyuarat Kabinet

Laporan ketua audit dibentang dalam mesyuarat Kabinet

Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata ia bagi membolehkan setiap isu yang dilaporkan dalam dokumen itu diambil tindakan dengan lebih berkesan.

Mulai tahun ini, laporan Ketua Audit Negara akan dibentangkan secara berkala di mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan dibentangkan secara berkala dalam mesyuarat Jemaah Menteri mulai tahun ini, kata Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Beliau berkata ia bagi membolehkan setiap isu yang dilaporkan dalam dokumen itu diambil tindakan dengan lebih berkesan.

Wan Suraya berkata mulai tahun depan, status serahan dan jenis penyata kewangan agensi persekutuan dan negeri juga akan dipantau melalui papan pemuka Ketua Audit Negara atau “AG Dashboard”.

“Jabatan Audit Negara bersama Kementerian Kewangan sebagai pegawai kewangan akan memberi perhatian serius terhadap isu yang dibangkitkan dalam LKAN.

Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

“Ini adalah wajar supaya isu yang dibangkitkan diambil perhatian serius dan tidak dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian dan perkara ini juga akan dibawa ke peringkat tertinggi supaya isu berbangkit dapat diambil tindakan dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen susulan penerbitan LKAN 2021 yang didedahkan hari ini.

Dalam laporan LKAN, Wan Suraya mengemukakan 145 syor bagi menambah baik perkhidmatan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 24 syor penambahbaikan perkhidmatan untuk kerajaan persekutuan manakala sejumlah 121 syor lagi dikemukakan kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.