‘Geng Acoy’ curi motosikal kuasa tinggi tumpas

‘Geng Acoy’ curi motosikal kuasa tinggi tumpas

Seorang wanita antara empat ahli geng itu yang ditahan semalam.

Antara motosikal berkuasa tinggi yang dirampas polis dalam serbuan di Sepang dan Kajang. (Gambar IPD Sepang)
PUTRAJAYA:
Polis menumpaskan “Geng Acoy” disyaki aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal berkuasa tinggi sejak awal bulan lepas dengan penahanan empat ahli kumpulan itu, termasuk seorang wanita semalam.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata semuanya yang berusia 27 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan di Sepang dan Kajang, Selangor, selain empat motosikal jenis Yamaha R25 dan sebuah motosikal Ducati Monster turut dirampas.

Beliau berkata kumpulan terbabit menjalankan kegiatan mencuri pada awal pagi dengan menyasarkan motosikal berkuasa tinggi di kawasan pangsapuri sekitar Sepang dan Kuala Langat.

“Motosikal dicuri ini akan dijual kepada penagih dadah pada harga antara RM500 dan RM1,000,” katanya dalam kenyataan.

Dengan penahanan itu, beliau berkata, enam kes curi motosikal berkuasa tinggi membabitkan keseluruhan kerugian RM80,000 diselesaikan.

Katanya, semua suspek direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.