PBS, STAR secara rasmi bincang kerjasama

PBS, STAR secara rasmi bincang kerjasama

Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku sepakat membincangkan kerjasama susulan cadangan Jeffrey Kitingan pada Julai.

Julita Majungki dan Edward Linggu antara pemimpin yang terlibat akan terlibat dalam perbincangan ke arah kerjasama PBS-STAR.
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sepakat memulakan perbincangan rasmi ke arah persefahaman dan kerjasama.

Setiausaha Agung PBS Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR Edward Linggu dalam kenyataan bersama berkata langkah itu menyahut seruan akar umbi kedua-dua parti yang ingin melihat kerjasama terjalin.

Ia juga kesinambungan kepada suatu cadangan sebelum PRN 2020, dan memperkukuh sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kesepakatan ini tercapai dalam pertemuan pemimpin kedua-dua parti pada Rabu lepas, lapor Utusan Borneo.

Menurut laporan itu, mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

PBS akan diwakili oleh Ketua Penerangan Joniston Bangkuai; Ketua Wanita Malianah Ugau; Ketua Pemuda Christoper Mandut; dan Julita.

Manakala STAR diwakili Pengarah Strategik Paul Porodong; Ketua Penerangan Jalumin Bayogoh; Ketua Wanita Flovia Ng; Ketua Pemuda Kong Soon Choi; dan Edward.

Pada 1 Julai, Presiden STAR Jeffrey Kitingan menghidupkan semula idea penggabungan dengan PBS, sambil menyatakan ia merupakan kaedah mengukuhkan dua parti berasaskan Kadazandusun Murut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.