Polis percaya Zayn meninggal dunia di tempat lain

Polis percaya Zayn meninggal dunia di tempat lain

Berdasarkan siasatan setakat ini, polis merumuskan mayat kanak-kanak autisme itu diletakkan di tempat ia ditemui.

Berdasarkan bedah siasat, polis berkata Zayn kemungkinan sudah meninggal dunia selama 48 jam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Zayn Rayyan Abdul Matiin yang hilang dan ditemukan tidak bernyawa semalam berdekatan sebatang anak sungai di Damansara Damai, dipercayai meninggal dunia di tempat lain.

Berdasarkan siasatan setakat ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis merumuskan mayat kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu diletakkan di tempat ia ditemui.

“Selama dua hari melalui tempat yang sama tak bertemu pun dengan mangsa tapi ditemui kemudian pada hari yang kedua lewat malam.

“Kita merumuskan bahawa mangsa tak mati di tempat kejadian. Mati ditempat lain dan diletakkan disitu,” katanya pada sidang media tergempar malam tadi.

Berdasarkan bedah siasat, Shuhaily berkata Zayn kemungkinan sudah meninggal dunia selama 48 jam.

“Yang pasti punca bukan sebab lemas,” katanya.

Shuhaily berkata polis ambil maklum tempat di mana mayat Zayn ditemui bukan laluan harian orang ramai, maka dipercayai suspek tahu kawasan itu.

Dalam pada itu, Bukit Aman dan IPK Selangor diatur untuk membantu IPD Petaling Jaya mengesan suspek.

“Saya merayu masyarakat kalau ada maklumat marilah bantu polis,” katanya.

Shuhaily memaklumkan polis baru mengambil keterangan ibu bapa Zayn.

Zayn dilaporkan hilang sejak kelmarin dan ditemui pada 10 malam, Rabu.

Peristiwa ini dikelaskan semula sebagai kes bunuh susulan bedah siasat, dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.