
Beliau menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengutamakan kualiti maklumat dan dokumen untuk melakukan siasatan.
“Semua senarai nama yang dinyatakan di dalam Kertas Pandora sedang dalam siasatan SPRM di mana terdapat siasatan yang tidak diketahui umum.
“Bagaimanapun, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta 694 yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan sehingga orang tertuduh dituduh di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Azalina menjawab pertanyaan Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung 12 individu, termasuk beberapa pemimpin dalam Jemaah Menteri yang disebut dalam Kertas Pandora tidak disiasat, sebaliknya hanya memfokuskan tokoh yang dilihat mesra pembangkang.
Februari tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan beberapa individu dipanggil memberi keterangan oleh SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan siasatan Kertas Pandora.
Sebelum itu dilaporkan kira-kira 12 warga Malaysia dinyatakan dalam siasatan Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan (ICIJ) berkenaan puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didakwa menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.
Siasatan itu berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen sulit daripada 14 syarikat khidmat kewangan di seluruh dunia, yang dipanggil Kertas Pandora.
Antara ahli politik Malaysia yang dikaitkan ialah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan Tengku Zafrul Aziz, Presiden Umno Zahid Hamidi dan beberapa individu lain, lapor Berita Harian Singapura.
Mempunyai entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, namun dalam beberapa kejadian, amalan itu digunakan untuk mengelak cukai.