JPJ tambah 1 jam waktu operasi kaunter di KL, Selangor, P Pinang, Johor mula Isnin

JPJ tambah 1 jam waktu operasi kaunter di KL, Selangor, P Pinang, Johor mula Isnin

Penambahan waktu operasi sama akan diperluas secara berperingkat libat JPJ negeri lain.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli, langkah itu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah waktu pengoperasian kaunter selama satu jam di beberapa negeri terpilih berkuat kuasa Isnin ini, bagi memudahkan urusan pelanggan.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli, berkata kaunter itu akan dibuka setiap hari Isnin dan Jumaat di JPJ Kuala Lumpur, Selangor, dan Pulau Pinang, manakala setiap hari Ahad dan Khamis di JPJ Johor.

“Semua hari tersebut dikategorikan sebagai ‘hari sesak atau sibuk’ dengan trend pelanggan yang tinggi.

“Pertambahan waktu operasi kaunter di JPJ ini akan dilaksanakan secara berperingkat yang seterusnya akan melibatkan JPJ Negeri yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Aedy Fadly berkata, satu jawatankuasa tadbir urus yang berfokus bagi peningkatan kualiti JPJ terutamanya penyampaian kaunter bagi memantau, melihat, dan menambah baik perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa, akan ditubuhkan.

Beliau berkata, JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat, selaras dengan Aspirasi Malaysia Madani.

Aedy Fadly berkata, JPJ bertekad dan beriltizam meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya penyampaian perkhidmatan kaunter di setiap JPJ negeri dan cawangan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.