Prabowo yakin isu sempadan, tenaga kerja dapat selesai dengan tertib

Prabowo yakin isu sempadan, tenaga kerja dapat selesai dengan tertib

Isu sekian lama dibahas boleh selesai sekiranya pemimpin mempunyai iltizam untuk bekerjasama.

Prabowo_Subianto_Indonesia
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yakin isu sempadan dan tenaga kerja boleh diselesaikan dengan Malaysia. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Presiden Prabowo Subianto yakin Malaysia dan Indonesia akan dapat selesaikan isu sempadan dan tenaga kerja secara tertib.

Presiden Indonesia itu percaya isu yang sekian lama dibahaskan ini boleh selesai sekiranya pemimpin mempunyai iltizam untuk bekerjasama.

“Hal-hal lain kita boleh selesaikan, masalah teknikal boleh diselesaikan. Apa yang penting ialah kita mempunyai iltizam politik dan strategik,” katanya lapor Bernama, pada sidang media bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita boleh selesaikan masalah sempadan, kita akan selesaikan masalah dua hala dan tenaga kerja jika sepakat untuk tertibkan.”

Sidang media bersama ini diadakan di Menara Berkembar Petronas selepas pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin negara ini.

Prabowo menekankan betapa penting Malaysia dan Indonesia bekerjasama, dengan sinergi bersama negara Asean lain, tatkala geopolitik dunia dipenuhi ketegangan dan ketidakpastikan.

“Hanya dengan kerjasama yang baik antara kita, suara kita akan lebih didengari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.