Abang menyusul selepas datuk, 2 adik maut kebakaran di Labuan

Abang menyusul selepas datuk, 2 adik maut kebakaran di Labuan

Mangsa keempat Shayven Keinth Chonh Shahmioom, 12, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Labuan pada 10 pagi tadi.

kebakaran labuan jbpm
Empat sekeluarga terkorban dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Lazenda Villa 2, Labuan. (JBPM pic)
PETALING JAYA:
Seorang lagi mangsa kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Lazenda Villa 2, Labuan, kira-kira 12 tengah malam tadi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Labuan, menjadikan keseluruhan empat terkorban.

Ketua Polis Labuan, Mohd Hamizi Halim, berkata pihaknya baru dimaklumkan mengenai mangsa keempat itu.

“Info terkini yang diterima seorang lagi mangsa kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di hospital pada 10 pagi tadi,” katanya menurut Sinar Harian.

Mangsa keempat ialah Shayven Keinth Chonh Shahmioom, 12.

Terdahulu, polis mengesahkan kebakaran itu membabitkan sembilan mangsa, dengan tiga daripadanya maut, dua lagi dirawat di hospital dan selebihnya selamat.

Hamizi dilaporkan berkata, lima mangsa termasuk empat kanak-kanak terperangkap dalam rumah.

“Ketika ditemui, empat kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat atas, dipercayai terhidu asap tebal. Turut ditemui jasad seorang lelaki dewasa dalam keadaan rentung di bahagian dapur,” katanya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.

Akhbar itu melaporkan Morris Chong Hoon Cheung, 65, ditemui rentung, manakala Shahwin Kind Chong, 11, dan adik perempuannya, Shayviann Kyrona Ruby, 8, meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.