Perubahan sebenar apabila PN beralih dari isu kaum dan agama, kata penganalisis

Perubahan sebenar apabila PN beralih dari isu kaum dan agama, kata penganalisis

PN dilihat banyak bermain dengan isu remeh-temeh berkisar kaum dan agama, kata Mazlan Ali.

bendera PN perikatan nasional
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, kata pemegang jawatan dalam PN tidak mencerminkan bilangan kerusi parti komponen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis berpandangan perubahan sebenar bagi Perikatan Nasional ialah apabila ia beralih daripada isu kaum dan agama.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata ramai pemerhati maklum bahawa dasar-dasar kerajaan ada kelemahan yang perlu dikritik, namun tidak nampak PN mampu menyemak dan mengimbang pemerintah dengan baik.

Mazlan Ali.

“Hanya isu remeh-temeh berkisar kaum dan agama banyak dimainkan,” katanya kepada FMT.

Mazlan menambah prestasi Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu di bawah pentadbiran PN juga tidak membantu menyakinkan pemerhati akan potensi gabungan itu.

“Jadi orang pertikai: Adakah anda mempunyai kewibawaan kemampuan untuk memerintah di peringkat persekutuan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata sebarang perubahan pemegang jawatan dalam PN harus mencerminkan realiti gabungan tersebut.

Beliau mendakwa banyak jawatan dalam PN dikuasai Bersatu walhal PAS mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang lebih banyak.

“Memang tidak adil dan tidak sesuai PAS tidak mempunyai jawatan penting,” katanya.

Di Parlimen, PAS mendahului bilangan Ahli Parlimen PN iaitu dengan 43 orang, berbanding 25 wakil rakyat Bersatu. Semua negeri yang ditadbir PN ketika ini dipimpin oleh menteri besar daripada PAS.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Sebelum ini, Pemuda PAS mencadangkan setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, sebagai setiausaha agung PN baharu. Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bagaimanapun melantik Azmin Ali daripada partinya ke jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Azmi berkata pendekatan PAS juga perlu berubah bagi menarik lebih ramai pengundi bukan Melayu untuk selesa mengundi PN.

“Jika PAS mengatakan perubahan perlu dilakukan, parti itu juga perlu melakukan perubahan bagi menarik golongan yang sentiasa takut dengan PAS dan golongan pengundi bukan Melayu,” katanya.

Pada 4 Mei lalu Pemuda PAS menyifatkan seruan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man supaya perubahan perlu dilakukan dalam pentadbiran PN sebagai ‘wake-up call’ tepat pada waktunya.

Pemuda Bersatu kemudian menggesa perbincangan berkaitan perubahan pentadbiran PN dilaksanakan secara dalaman bukan di khalayak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.