3 kekal dipenjara 35 tahun kerana culik, bunuh

3 kekal dipenjara 35 tahun kerana culik, bunuh

Mahkamah Persekutuan berkata ia tidak mempunyai sebab untuk mengganggu penemuan fakta serentak yang dibuat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

istana kehakiman Federal Court
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas A Malarvili, J Sunil Singh, dan C Kavin Mukilan bagi penculikan dan pembunuhan Balveer Kaur pada 2015.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 35 tahun terhadap seorang bekas kerani dan dua yang lain atas tuduhan menculik dan membunuh ahli perniagaan Balveer Kaur, yang mayatnya dibuang dari Jambatan Kedua Pulau Pinang 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan pemangku Ketua Hakim Negara Hasnah Hashim menolak rayuan A Malarvili, 33, J Sunil Singh, 38, dan C Kavin Mukilan, 31, terhadap sabitan dan hukuman mereka.

Hasnah berkata mahkamah tertinggi tidak mempunyai sebab untuk mengganggu penemuan serentak fakta yang dibuat oleh mahkamah rendah.

“Kami juga berpuas hati bahawa hakim bicara tidak melakukan apa-apa kesilapan, dan tidak juga berlaku salah laksana keadilan,” katanya.

Mahkamah menolak rayuan balas pihak pendakwaan untuk mengembalikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas ketiga-tiga perayu.

“Kami tidak teragak-agak untuk menolak rayuan di hadapan kami. Kami dengan ini mengesahkan sabitan dan hukuman,” katanya.

Turut bersidang dalam panel mendengar rayuan itu ialah Hakim Abu Bakar Jais dan Hanipah Farikullah.

Sunil, bekas pekerja Balveer, dan Kavin juga dihukum sebat 12 kali kerana mereka berumur di bawah 50 tahun.

Ketiga-tiga mereka dijatuhi hukuman 35 tahun lagi kerana menculik untuk mendapatkan wang tebusan daripada keluarga Balveer, dengan Sunil dan Kavin dijatuhi hukuman tambahan tiga sebatan rotan.

Malarvili terselamat daripada hukuman sebat kerana undang-undang melarang hukuman sedemikian ke atas pesalah wanita.

Hukuman penjara diarahkan bermula dari tarikh mereka ditangkap, dan akan berjalan serentak, bermakna ketiga-tiga mereka akan menjalani hukuman 35 tahun yang dikira mulai 15 Feb 2015.

Pada 27 Dis 2018, hakim perbicaraan Zulkifli Bakar mensabitkan kesalahan ketiga-tiga tertuduh dan menjatuhkan hukuman mati bagi kedua-dua kesalahan itu.

Pada 5 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan itu tetapi menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara berikutan rayuan peguam mereka.

Peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Sunil, Jasmine Cheong mewakili Malarvili, dan M Visvanathan mewakili Kavin.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan Iznina Hanim Hashim hadir untuk pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.