
Perkembangan ini selepas perwakilan muktamar tahunan PAS sebulat suara meluluskan usul supaya parti mereka memimpin PN sebelum PRU16.
“Kalau diperlukan begitu, kita bersedia,” kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan kepada pemberita, di tepian muktamar di Alor Setar, Kedah, petang tadi.
Malah, sebenarnya, PAS beberapa kali ditawarkan jawatan pengerusi PN, namun menolak kerana beranggapan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin lebih sesuai lantaran pengalaman dalam politik, pada masa itu.
“Sekarang kami menyatakan kami sudah bersedia,” tegas Takiyuddin.
Banyak faktor yang mendorong kepada saat ini, katanya, menarik perhatian kepada pentadbiran PAS di Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu; serta bilangan kerusi di Parlimen.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan kepada pemberita bahawa usul supaya PAS memimpin PN akan dibincangkan jawatankuasa kerja pusat, termasuk tentang mambawa usul itu ke majlis tertinggi PN.
Terdahulu, wakil Pemuda Faizuddin Zai ketika membentangkan usul berkata PAS perlu mengambil alih teraju PN kerana gabungan itu dilihat ‘tepu’, ‘tiada hala tuju yang jelas’, dan ‘hilang fokus’.
Katanya, “rakyat sedang menunggu untuk kita rampas kepimpinan PN”.
Logo dan PM
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata isu logo pilihan raya dan calon perdana menteri seharusnya dibuat menerusi majlis tertinggi PN.
Beliau mengingatkan bahawa semua anggota PN adalah ‘rakan setara’.
“Jadi bagi PAS apa-apa berkenaan keputusan yang perlu dibuat oleh pengerusi PN atau sesiapa sahaja dalam PNnmesti melalui MT PN.
“Sebab itu kita agak tidak bersetuju dengan apa-apa pengumuman sama ada berkenaan calon perdana menteri dan sebagainya.”
Semalam, Muhyiddin secara peribadi melahirkan harapan supaya logo PN menjadi logo tunggal bagi calon mereka pada PRU16
Pada pilihan raya lalu semua calon PN menggunakan logo gabungan, kecuali di Kelantan dan Terengganu.