
Dalam kenyataan bersama, lapan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menzahirkan kebimbangan bahawa pilihan raya diadakan dalam negara itu mengalami krisis ‘tidak boleh dianggap bebas dan adil’.
“Kami amat bimbang dengan laporan berita ini yang seolah-olah menunjukkan bahawa Malaysia dan Asean menyokong rancangan junta tentera untuk mengadakan pilihan raya di tengah-tengah konflik bersenjata yang berterusan, penindasan meluas dan krisis kemanusiaan yang semakin parah,” kata mereka dalam kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Wong Chen (PH-Subang); Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota); Howard Lee (PH-Ipoh Timur); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang); Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera); Mohd Suhaimi Abdullah (BN-Langkawi); Yuneswaran Ramanaraj (PH-Segamat); dan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit).
Semalam, Mohamad berlepas ke Myanmar untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi dan rakan sejawatnya di negara itu susulan pelanggaran gencatan senjata baru- baru ini yang ‘menggugat usaha pelan damai dan memburukkan lagi keadaan’.
Kumpulan Ahli Parlimen itu juga menggesa kerajaan menerangkan sama ada pertemuan terbaru ini menandakan perubahan dasar ke arah mengiktiraf kesahihan junta.
“Kami menegaskan bahawa Asean tidak boleh mengabaikan rakyat Myanmar dan mesti terus mempertahankan prinsip demokrasi.
“Asean tidak boleh tunduk kepada pilihan raya palsu anjuran junta tentera,” kata mereka.