MDDM buat laporan polis terhadap pempengaruh guna gelaran palsu

MDDM buat laporan polis terhadap pempengaruh guna gelaran palsu

Majlis Datuk Dato’ Malaysia menggesa wanita terbabit mengakui kesilapannya dan berhenti menggunakan gelaran tersebut.

Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia, Samson David Maman, selepas membuat laporan di balai polis Ampang Jaya, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) membuat laporan polis terhadap seorang pempengaruh media sosial yang didakwa menggunakan gelaran Datuk palsu, sambil menggesanya mengakui kesilapan dan menghentikan penggunaan gelaran itu.

Presidennya Samson David Maman berkata individu itu memperkenalkan dirinya di media sosial sebagai Datuk Panglima Wilayah (DPW), sedangkan gelaran itu tidak wujud dan tidak tersenarai dalam mana-mana rekod rasmi anugerah negara.

Menurutnya, wanita itu kemudian memadam hantaran berkaitan DPW di Facebook dan Instagram, namun memuat naik semula pengumuman baharu dengan menggunakan gelaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW), iaitu satu anugerah sah bagi Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, nama beliau tidak terdapat dalam senarai penerima anugerah rasmi, dan majlis turut memaklumkan bahawa beliau masih menggunakan gelaran “Datuk Dr” di Instagram.

“Kami hanya mahu dia mengakui perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan memadam semua kenyataannya.

“Ia tidak wajar di mata orang ramai dan juga institusi diraja,” katanya selepas membuat laporan di balai polis Ampang Jaya hari ini.

Samson berkata pempengaruh terbabit mendakwa gelaran itu diberikan oleh Imbued Impact Foundation pada 2020, namun hasil semakan mendapati pertubuhan itu tidak berdaftar secara rasmi dan tidak mempunyai kuasa untuk menganugerahkan gelaran Datuk.

Yayasan itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan di Facebook bahawa gelaran DPW hanyalah satu bentuk penghargaan dalaman, bukan gelaran rasmi kerajaan negeri atau Persekutuan, serta menasihatkan orang ramai menyemak kesahihan anugerah melalui Warta Kerajaan.

Samson berkata, perubahan dakwaan yang dibuat oleh pempengaruh itu telah menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai. Menurutnya, penyalahgunaan atau tuntutan terhadap gelaran tidak diiktiraf boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Berkaitan Anugerah 2017 (Akta 787).

“Ini adalah satu kesalahan jenayah. Orang ramai patut merujuk Akta 787 kerana hukumannya boleh menjadi berat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan gelaran yang sah mesti dikurniakan secara bersemuka oleh pihak berkuasa yang sah.

“Periksa kesahihan sebarang gelaran. Ia tidak boleh dihantar melalui pos atau surat. Kalau tidak dikurniakan secara bersemuka, ia tidak sah,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis memaklumkan siasatan akan dijalankan terhadap kemungkinan kesalahan yang dilakukan oleh pempengaruh tersebut dan juga pihak yayasan.

FMT tidak menamakan pempengaruh itu sementara menunggu maklum balas beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.