
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata IPT bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, malah menjadi asas pembentukan kepimpinan serta budaya beretika dalam kalangan graduan.
“Pentadbir universiti menggalas tanggungjawab besar dalam mentadbir sumber manusia, kewangan, aset dan pelbagai sumber penting lain, dan di sinilah integriti serta akauntabiliti benar-benar diuji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program syarahan pengurusan negara bertajuk ‘Membudaya Integriti dan Akauntabiliti Dalam Tadbir Urus Awam Malaysia dari Perspektif Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)’ di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau turut menekankan peranan pensyarah sebagai pembina sahsiah dan ejen perubahan yang berteraskan nilai, selain menjadi contoh teladan dalam pengajaran, penyelidikan serta urusan pentadbiran.
Selain itu, Wan Dahlan turut mengingatkan pelajar supaya menerapkan budaya integriti dan akauntabiliti yang menjadi antara aspek utama penilaian majikan, khususnya bagi mereka yang berhasrat berkhidmat dalam sektor awam.
Beliau juga menggesa pelajar menolak jalan pintas dalam pembelajaran, mengamalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika serta menegakkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
“Ramai pelajar kini semakin bergantung kepada alat seperti ChatGPT, DeepSeek dan Gemini. Teknologi ini memberi manfaat jika digunakan dengan betul, namun boleh memudaratkan sekiranya mewujudkan kebergantungan penuh tanpa usaha sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan amat memerlukan sumbangan berterusan ahli akademik melalui penyelidikan bagi menyokong perkhidmatan awam yang berintegriti, berakauntabiliti serta dinamik, cekap dan berkesan.