
Pearly-Thinaah, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan nombor 60 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari. Ini merupakan kekalahan pertama mereka kepada pasangan Indonesia itu dalam lima pertemuan setakat ini.
Di sebalik sokongan padu daripada penyokong tempatan, jaguh Malaysia itu tewas 24-26 dan 17-21 dalam masa 53 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sementara itu, beregu lelaki nombor 7 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengecewakan peminat apabila tumpas di tangan pasangan England di ranking ke-16, Ben Lane-Sean Vendy, dengan keputusan 13-21, 17-21 dalam masa 42 minit.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao, kalah kepada jaguh Indonesia, Jonatan Christie, dengan mata 21-18 dan 21-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 55 minit.
Pada awal pagi tadi, beregu campuran nombor 9 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, tewas mudah 9-21 dan 17-21 kepada pasangan Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai, yang berada 22 anak tangga bawah pasangan Malaysia tersebut.
Hanya juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia.