Aktiviti tak bermoral: Siasatan ke atas 21 pegawai Pangkalan Udara Subang selesai

Aktiviti tak bermoral: Siasatan ke atas 21 pegawai Pangkalan Udara Subang selesai

Panglima Tentera Udara Muhamad Norazlan Aris berkata ia akan merujuk Cawangan Perundangan TUDM untuk meneliti jenis kesalahan dan peruntukan undang-undang bagi setiap pertuduhan.

Muhamad Norazlan Aris
Panglima Tentera Udara Muhamad Norazlan Aris mengulangi tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pegawai didapati bersalah, tanpa mengira pangkat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Panglima Tentera Udara, Muhamad Norazlan Aris berkata siasatan ke atas dakwaan aktiviti tidak bermoral membabitkan 21 pegawainya sudah siap.

Selepas menyerahkan laporan itu, katanya, ia akan merujuk Cawangan Perundangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk meneliti jenis kesalahan dan peruntukan undang-undang bagi setiap pertuduhan.

Beliau berkata, 21 pegawai dari Pangkalan Udara Subang itu disiasat atas pelbagai kesalahan dan siasatan turut melihat kepada pangkalan atau unit lain.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada laporan diterima berhubung pembabitan pangkalan atau unit lain berhubung isu itu,” katanya menurut Berita Harian.

Menurutnya, apa yang ditegaskan sebelum ini bukan sekadar ‘lakonan’, malah beliau secara peribadi memantau perkembangan siasatan itu.

Beliau turut mengulangi tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pegawai didapati bersalah, tanpa mengira pangkat.

Terdahulu, beberapa gambar dan rakaman video tular di media sosial mendakwa budaya tidak bermoral dan perlakuan tidak selaras etika perkhidmatan berlaku dalam kem tentera.

Susulan itu, Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) segera menjalankan siasatan dalaman bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.