Fahmi Zainol gugur dari exco P Pinang

Fahmi Zainol gugur dari exco P Pinang

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata wakil rakyat PKR itu menerima keputusan terbabit.

Fahmi Zainol
Pengganti kepada Fahmi Zainol akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang petang ini. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Adun Pantai Jerejak Fahmi Zainol digugurkan daripada barisan exco Pulau Pinang, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Fahmi pagi ini bagi memaklumkan keputusan itu, sambil menambah pemimpin PKR itu menerima keputusan berkenaan.

Menurut Chow, beliau akan mengemukakan cadangan pengganti Fahmi kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang petang ini.

Chow turut memaklumkan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh telah mengutuskan surat kepadanya semalam bagi memohon Fahmi digugurkan daripada barisan exco kerajaan negeri.

“Saya menghormati keputusan parti,” katanya.

Minggu lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Susulan itu, beliau digantung daripada semua jawatan dalam PKR.

Adun penggal pertama itu turut mengemukakan rayuan terhadap penggantungan berkenaan dengan alasan bahawa satu-satunya jawatan yang disandangnya dalam PKR ialah sebagai ahli jawatankuasa negeri PKR Pulau Pinang secara ex officio, berdasarkan kedudukannya sebagai Adun.

Fahmi berkata selagi beliau kekal sebagai Adun Pantai Jerejak, kedudukannya sebagai ahli ex officio dalam kepimpinan PKR negeri secara teknikalnya masih wujud.

Sebelum ini, Chow berkata Fahmi akan terus menjalankan tugas sebagai exco kerajaan negeri walaupun berdepan pertuduhan, memandangkan beliau masih dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.