Syed Saddiq kekal ‘wajah depan’ Muda walau tak tanding, kata penganalisis

Syed Saddiq kekal ‘wajah depan’ Muda walau tak tanding, kata penganalisis

Namun Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata Muda berdepan risiko dilihat sebagai ‘parti seorang’ menjelang PRU16.

SYED SADDIQ
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil keputusan tidak bertanding dalam pemilihan sulung Muda kerana kes mahkamah dihadapinya masih berjalan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan tetap menjadi ‘wajah depan’ Muda pada PRU16 walaupun tidak menghiasi barisan pimpinan parti itu, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, malah tindakan Ahli Parlimen Muar tidak bertanding pemilihan 14 Mac depan kerana ingin membersihkan nama di mahkamah bukan sahaja meningkatkan imejnya tetapi Muda.

“Syed Saddiq tetap menjadi wajah depan parti iaitu simbol keberanian politik anak muda sukar ditandingi,” katanya kepada FMT.

Namun, menurut penganalisis dari Global Asia Consulting itu, keadaan tersebut juga berisiko memberi kesan kepada perkembangan Muda jika tiada pemimpin lain menonjol seperti Syed Saddiq.

“Jika tidak diimbangi dengan kepimpinan baharu yang berwibawa, Muda boleh dilihat sebagai ‘parti seorang’ dan momentum menjelang PRU16 mungkin terjejas.

“Justeru, pemilihan kali ini harus menjadi pentas untuk menonjolkan barisan pemimpin muda lain yang mampu berdiri sama tinggi, membuktikan bahawa Muda institusi kolektif bukan sekadar gerakan berasaskan personaliti,” katanya.

Isnin lalu, Syed Saddiq yang mengasaskan Muda pada 2020 berkata beliau mengambil keputusan tidak bertanding dalam pemilihan sulung parti itu kerana kes mahkamah dihadapinya masih berjalan.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, beliau tidak mahu kes subahat dalam jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya menghalang Muda daripada terus maju ke hadapan.

Muda ditubuhkan pada 2020 dengan Syed Saddiq dipilih sebagai presiden. Beliau dituduh pada 2021 atas dakwaan bersubahat dalam jenayah pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2023, beliau meletak jawatan sebagai presiden Muda. Jawatan itu dipangku Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abdul Aziz.

Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan, sekali gus membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta.

Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya pula berkata, tanpa penyertaan Syed Saddiq dalam pemilihan dan pimpinan Muda, imej, sokongan serta keterlihatan parti itu mungkin akan malap.

“Muda perlu mencari dan melamar satu figura politik baharu untuk pastikan parti itu kekal relevan dan masih mendapat tempat dalam kalangan kumpulan sasaran.

“Parti itu juga perlu bersama dengan mana mana gabungan politik dominan di Malaysia sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Katanya, gagal lari daripada imej parti bergantung kepada personaliti tunggal dan jenama individu semata-mata berisiko memendekkan kelangsungan Muda.

“Saya tidak terkejut Muda akan mengalami nasib sama seperti Pejuang, Putra dan Berjasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.