
Mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah itu daripada syarikat teknologi maklumat dan perkakasan berhubung satu kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem telekomunikasi di selatan tanah air.
Perintah reman selama lima hari hingga 12 April terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek utama lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Katanya, suspek kedua yang juga lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira 4 petang semalam di pejabatnya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2021 hingga 2023 dan menerima rasuah secara bulanan kira-kira RM60,000.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah itu secara tunai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.