Mayat Jawi yang belum dikafan dan muruku ikan Popo

Apakah yang dapat kita harapkan jika kita menyemai pohon prasangka dan curiga di halaman? Adakah buahnya rasa hormat sesama kita?

Negara ini ada satu masalah iaitu kita – warga dan penghuninya – berasa curiga sesama kita. Rasa curiga ini hanyalah satu dari simptom untuk penyakit yang lebih berat.

Oleh itu kita umat Malaysia tidak sempat melepas lelah untuk bertenang, satu demi satu, bertalu-talu kita akan melempar dan mengherdik sesama kita. Setiap kali kita akan mencari jalan untuk menyalak dan menggonggong dengan ngongoi panjang tiada henti. Kali ini bahan seranah kita adalah Jawi.

Demi Tuhan, Jawi adalah mayat yang belum siap dikafankan. Di hadapan jenazah itu kita saling bertengkaran. Esok lusa, kita akan mencari bahan lain untuk saling melempar dan menghamun.

Duhai rakyat Malaysia, ketahuilah, 9 Mei 2019 bukanlah destinasi atau objektif negara ini. 9 Mei hanyalah proses untuk kita bertambah matang, dan belajar lagi. 9 Mei hanyalah babak baru dari sebuah buku.

Kita harus bergerak ke hadapan. Segala sebab dan akibat yang hodoh dari babak dahulu perlu kita renung, dan baiki.

Babak baru kita adalah masa depan Malaysia. Kita perlu mencari sebab musabab mengapa kita suka, malah ketagih mencerca satu sama lain.

Hari ini kita mangsakan Jawi sepuasnya. Esok lusa hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang akan kita sasarkan dan lemparkan sebagai objek kebencian.

Kita tahu kita ada masalah. Kita perlu mengerti apa masalah itu. Kita perlu memastikan adakah ia hanya simptom, atau memang ia masalah.

Pemasyhuran Kemerdekaan dalam tulisan Jawi.

Nah, masalah kita bukan pelaksanaan Jawi di sekolah. Sama sekali bukan. Tolong jangan maki mayat Jawi yang belum kita kuburkan. Masalah kita ialah curiga dan prasangka.

Sekarang kita mencari sebab dan punca mengapa curiga dan prasangka itu menjadi penyakit. Atau penyakitnya lain? Apakah yang mengakibatkan kita membina perpaduan yang sangat rapuh? Saya akan memberitahu kalian apa masalah, dan penyakit kita kemudian.

Tetapi sebelum itu saya ingin menjelaskan kalian dengan hati yang ikhlas tentang mayat yang belum kita tanam itu. Namanya Jawi. Jadi beri perhatian.

Jawi adalah tulisan rasmi beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara sebelum penjajah datang.

Jawi datang dari kata jawah, yang digunakan oleh Ibnu Battuta, pengembara Arab antara tahun 703 Hijrah dan 779 Hijrah, apabila dia belayar ke Nusantara. Kata “Jawi” digunakan beliau untuk merujuk penduduk-penduduk alam Melayu.

Jadi “Jawi” itu merujuk saya, merujuk Najib Razak, Abdul Hadi Awang, budak-budak Isma, Zaid Ibrahim, raja-raja kita, hatta Siti Kasim.

Ketika itu tulisan umat Melayu belum Jawi. Kita antara lain menggunakan tulisan palava. Ia terdapat pada prasasti Kedukan Bukit (683), Talang Tuo (684), Kota Kapur (686) dan Karang Brahi (686).

Apabila Islam datang ke alam Melayu, para mubaligh Cina, Parsi, India dan Arab yang beragama Islam memperkenalkan tulisan huruf Arab yang kita kenali sebagai Jawi. Iaitu mayat yang belum sempat kita mandikan. Batu nisan Jawi pun belum ditempah.

Meskipun huruf Arab dipinjam oleh Jawi, ia tidak sepenuhnya Arab. Huruf Arab terdapat 28 huruf. Tulisan Jawi menambah 5 huruf lagi dari bahasa Parsi dan Berber iaitu “Ga” (baca seperti menyebutkan nama Lady Ga Ga); “Cha” (untuk permulaan huruf ejaan kata Cina dalam tulisan Jawi); “Nga” (seperti permulaan untuk Nga Kor Ming); “Pa” (sebut seperti menyebut kata kedua dari ungkapan Sco Pa Tu Manaa), dan “Nya” (seperti kita menyebut kata nyamuk).

Bukti awal penggunaan tulisan Jawi terdapat pada Batu Bersurat Terengganu (22 Februari 1303). Suka atau tidak ia adalah warisan negara ini. Ia menggunakan khat nasakh.
Terdapat banyak jenis khat, tetapi Batu Bersurat Terengganu menggunakan khat nasakh.

Perbincangan tentang warisan budaya ini saya tuliskan panjang lebar dalam novel saya “Sebongkah Batu di Kuala Berang” yang diharamkan kerajaan Najib Razak (seorang Bugis) dengan kerjasama Ahmad Zahid Hamidi (seorang Jawa).

Tulisan Jawi digunakan oleh raja-raja Melayu kepada penjajah dalam surat-menyurat mereka. Malahan hikayat lama yang tepu unsur kehinduan seperti Sri Rama pun menggunakan tulisan Jawi. Hikayat Hikamat mengenai seorang Melayu masuk Kristian pun ditulis dalam Jawi. Saya menyimpan berpuluh novel dan erotika lagi lucah dekad 1940an-1960an yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Jadi, ia bukan sahaja tulisan untuk kitab Aqaid al-Nasafi (kitab tulisan Jawi tertua dari tahun 1590).

Tulisan Jawi juga ditulis pada Pemasyhuran Kemerdekaan. Ia juga ditulis pada bungkusan Muruku Ikan Popo Thien Cheong.

Terdapat bahasa lain yang juga menggunakan tulisan ala-Jawi iaitu Jawa, dinamakan tulisan “pegon”, dan Bugis yang dinamakan tulisan “serang”. Tidak pasti Zahid atau Najib reti menggunakan kedua-dua tulisan ini.

Munshi Abdullah menggunakan tulisan Jawi, dan Stamford Raffles mempelajari tulisan ini daripada beliau. Tulisan Jawi tidak terhad digunakan oleh Melayu di rantau ini sahaja, diaspora Melayu juga menggunakannya seperti Melayu Sri Lanka yang menerbitkan akhbar berjudul “Alamat Langkapuri” selama 7 tahun mulai tahun 1869 (lebih awal dari akhbar Jawi Peranakan).

Profesor Kang Keung Seuck, profesor bidang pengajian Melayu di Pusan University of Foreign Studies di Korea Selatan mengatakan tulisan Jawi menempuh 4 tahap.

Dua tahap awalnya sangat dipengaruhi bahasa Arab. Bahkan tahap kedua tulisan Jawi tanpa baris yang cenderung mengelirukan itu (seperti terdapat dalam mansukrip lama) pernah dianggap tulisan asli oleh RJ Wilkinson, seorang orientalis yang berkhidmat di Malaya.

Dua tahap kemudian ialah apabila orang Melayu mulai membetulkan tulisan ini seperti yang terlihat dalam sistem ejaan Pakatan Bahasa Johor (1937) dan Sistem Ejaan Za’ba (1938).

Pada 1963, Parlimen memilih tulisan rumi menggantikan tulisan Jawi dan fasal 152 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan kedua-dua tulisan boleh digunakan untuk tujuan rasmi meskipun hari ini kita cenderung memilih tulisan rumi.

Tatkala itu pengarang-pengarang sastera Asas 50 adalah antara mereka yang mendesak kerajaan beralih dari tulisan Jawi ke rumi.

Pada 1970, Jawi dimasukkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu untuk sekolah. Ini menjelaskan mengapa kaum Cina yang bersekolah kebangsaan dalam tahun 1970an boleh membaca tulisan Jawi dengan baik.

Itulah hayat jenazah yang sudah mati dan belum siap kita simpan.

Kita belum kuburkan. Kita curiga dan prasangka sesama kita. Maka kita mencari subjek untuk dipertengkarkan. Kita melempar tahi antara satu sama lain.

Ingat, 9 Mei bukan objektif negara ini. Ia hanyalah satu lagi proses (atau babak baru).

Di bawah kerajaan baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menjawab Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias, menyatakan: “Tulisan Jawi tidak diajar secara khusus sebagai satu mata pelajaran. Walaupun begitu, tulisan Jawi adalah salah satu komponen yang diajar di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang melibatkan kemahiran membaca dan menulis tulisan Jawi.”

Ia adalah langkah salah. Kelekatan tulisan Jawi kepada mata pelajaran agama Islam menyebabkan ia dianggap khas dan eksklusif untuk agama Islam.

Teo Nie Ching selaku timbalan menteri pendidikan menjelaskan: “Elemen tulisan Jawi dimasukkan ke dalam mata pelajaran Pendidikan Islam seiring dengan pelaksanaan Kurikulum Baharu Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983. Tulisan Jawi diajar di dalam Pendidikan Islam disebabkan guru Pendidikan Islam mempunyai lebih kemahiran untuk mengajar menggunakan tulisan tersebut. Melalui pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah semakan 2017, seni khat Jawi dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu melalui bidang seni bahasa. Kemahiran ini diajar kepada murid Tahun 2. Sehubungan dengan itu, seperti yang dinyatakan tadi KPM akan menjadikan Jawi sebagai tulisan warisan untuk dipelajari oleh semua murid di sekolah dan juga menggubal semula peranan munsyi Jawi.”

Tulisan Jawi yang sudah mati tetapi belum sempat kita sembahyangkan ini bagaimanapun masih nyawa-nyawa ikan di Pantai Timur Semenanjung dan beberapa kawasan pesisir, termasuk secara terpencil di daerah negeri Selat yang mana kaum Baba Nyonya dan Cina yang berpendidikan di sekolah kebangsaan mengalami proses asimilasi budaya.

Akan tetapi kita sudah biasa curiga dan prasangka. Bukan sangat soal ada segelintir Cina datang dari bukit yang suka melenting berbanding Cina yang menginap di kejiranan bandar. Bukan.

Terdapat juga Melayu hulu hutan yang pantang melihat simbol babi dan anjing tatkala Tahun Baru Cina. Perangai melatah ada pada kedua-dua belah pihak.

Di celah itu, ada warga liberal kita yang hanya nampak hak asasi untuk dirinya sahaja. Mereka tidak tahu membezakan hak budaya dengan hak asasi manusia dan mengelirukan semua dengan pancutan mazi orgasma sendiri.

Nasihat saya, eloklah daftarkan diri dengan mana-mana Summer School di Geneva untuk belajar lagi.

Apa sebab kita curiga dan prasangka lantas saling mencari salah?

Negara kita telah menggunakan formula kaum dan agama untuk semua perkara. Itu dia penyakit sebenar. Kita melekatkan apa pun dengan Melayu dan Islam. Inilah puncanya Sasterawan Negara yang menulis sebuah buku puisi dengan elemen Islam boleh diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka kemudian dinobatkan sebagai produk “sastera kebangsaan”.

Alasannya adalah bahasa Melayu (atau bahasa Malaysia) adalah bahasa rasmi, dan demikian juga agama Islam itu agama rasmi.

Manakala jika seorang pengarang Iban yang ingin menulis sebuah novel dengan elemen Kristian dalam bahasa Melayu akan dianggap pengkhianat negara, musuh Islam, mencabar ketuanan, menggugat kestabilan nusa bangsa.

Padahal dia juga ingin atau mahu turut serta memperkasakan bahasa Melayu. Apatah lagi kalau seperti Hikayat Hikamat, kisah benar Melayu Batak dimerdekakan dari menjadi hamba oleh Reverend Benjamin Peach Keasberry’s (1811-1875) lalu disekolahkan di Mission School, Mount Zion di Singapura.

Hikayat itu perihal seorang Melayu masuk Kristian yang dikarang dan dicetak dalam tulisan Jawi.

Jadi masalah kita ialah bukan Jawi. Masalah kita ialah formula negara bangsa yang salah sejak 13 Mei 1969. Mereka yang menggubal dasar-dasar lapuk ekoran dari rusuhan kaum itu ramai yang sudah mati. Kita sempat kebumikan mereka.

Malangnya Jawi tidak seperti itu. Kita bertengkar dan saling melangkah mayatnya.

Oleh sebab kita suka berprasangka, kita juga mengelak untuk bersemuka.

Pergi jahanam dengan dialog. Kita pantatkan dialog, dan lebih suka menggunjing. Kita suka mengulas dan melompat atas sesuatu isu macam kera mencium bunga.

Padahal kita tidak tahu punca, asal usul dan mengerti perincian sesuatu perkara.

Hari ini kita terkulat-kulat bodoh membodoh sesama sendiri dan menjadikan Jawi sebagai mangsa. Tuhan sahaja yang tahu, entah apa pula esok lusa.

Inilah nasib Malaysia, ada di pembalut bungkusan Maruku Ikan Popo Thien Cheong.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.