Kenapa saya nak culik anak guam sendiri, soal Siti Kasim

Siti Kasim akan mempertahankan hak anak guamnya. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Peguam aktivis Siti Kasim hari ini menafikan dakwaan polis bahawa pihaknya menyelamatkan anak guam peguam itu dan menuduhnya menculik.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk menculik anak guamnya.

“Kenapa saya mahu menculiknya? Untuk apa? Adakah saya menghantar nota tebusan?” soalnya.

Katanya, beliau yang terkejut dengan tindakan polis itu berkata mereka sepatutnya melakukan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan beliau menculik anak guamnya, bukannya menyerbu rumahnya selepas mendapat satu laporan.

Katanya, beliau berharap menteri dalam negeri akan meneliti tindakan polis tersebut yang disifatkan sebagai “menindas”, supaya kejadian sedemikian tidak berulang di era “Malaysia baharu”.

Difahamkan anak guam Siti, seorang perempuan berusia 20-an, diambil polis, selepas ibunya membuat aduan tentang keadaan akidah anaknya.

Terdahulu Siti berkata perempuan itu, yang mendakwa didera ibunya, “diculik” polis dan pihak berkuasa agama di Selangor.

Video di Facebook memaparkan Siti di balai polis, menuntut anak guamnya dibebaskan. Kedengaran suara seorang perempuan menafikan dia diculik Siti.

Siti ditahan di ibu pejabat polis Kajang pada Sabtu dan dibebaskan semalam selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan reman terhadapnya atas dakwaan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Beliau mengkritik pihak polis yang mendakwa mereka menyelamatkan anak guamnya “tanpa meneliti fakta”.

Beliau juga mendedahkan beliau meminjamkan telefon kepada anak guamnya selepas telefon bimbit anak guamnya dirampas pihak berkuasa, sambil menambah beliau juga memberikan perempuan itu wang untuk membeli makanan.

Beliau juga memberi amaran kepada mereka yang cuba “menindas” perempuan itu berfikir 2 kali.

“Ingatlah, wanita ini tidak akan ditekan dalam apa-apa keadaan pun kerana saya selalu berdiri untuk menegakkan undang-undang dan sentiasa memastikan saya mempertahankan hak anak guam saya.”

Mahkamah tolak permohonan reman Siti Kasim

Polis tahan Siti Kasim kerana ‘culik’