
Shahril Hamdan mencadangkan syarikat Malaysia menjadi hos kepada aplikasi AI China yang menggunakan cip buatan China, selain sewakan pusat data kepada syarikat AS.
Sekurang-kurangnya separuh daripada pusat data di Malaysia, termasuk kapasiti pengkomputerannya, digunakan oleh pelanggan China, kata Shahril.
Beliau berkata penting untuk Malaysia mengekalkan hubungan dengan industri AI di kedua-dua AS dan China, meskipun penghantaran cip Nvidia ke Malaysia dilaporkan dihentikan.
Shahril berkata syarikat China menyewa kapasiti pengkomputeran daripada pusat data Malaysia bagi menggunakan cip Nvidia yang tidak dapat mereka akses di China.
Beliau mencadangkan syarikat Malaysia menjadi hos kepada aplikasi kecerdasan buatan China yang menggunakan cip buatan China, selain menyewakan pusat data kepada syarikat AS.

“Untuk menyelamatkan pelaburan pusat data kita, tolonglah minta sama ada lebih banyak pusat data daripada Amazon, Google atau Microsoft yang akan dibina di Malaysia, atau syarikat Malaysia bina pusat data dan sewakan sebahagian kepada syarikat AS yang sama.
“Ini akan menjadikan kita sebahagian daripada rantaian nilai AI AS,” katanya dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap bersama Timbalan Presiden Muda Zaidel Baharuddin.
Pada masa yang sama, Shahril berkata Malaysia boleh memujuk syarikat China untuk menjadi hos kepada sebahagian aplikasi mereka di Malaysia sementara mereka berusaha menjual peralatan AI yang dibangunkan menggunakan cip dan model mereka sendiri.
Beliau berkata larangan penghantaran cip Nvidia ke Malaysia bermakna pusat data Malaysia tidak lagi menawarkan banyak nilai kepada syarikat China. Katanya, tidak masuk akal dari segi komersial untuk meminta mereka memindahkan pusat data ke Malaysia kerana kos operasi di China lebih rendah.
Bagaimanapun, beliau percaya Malaysia boleh cuba menarik syarikat China yang mahu menempatkan kapasiti pengkomputeran aplikasi AI mereka di tempat lain, sama ada atas faktor geopolitik atau strategik.
“Saya rasa China ada sebab untuk berbuat demikian kerana syarikat-syarikat ini mahu menjual aplikasi AI yang dibina atas cip dan model mereka sendiri. Jadi, maksud saya, bagaimana kita perlu berguna kepada kedua-duanya, tetapi bebas daripada kedua-duanya.
“Kita perlu mencari cara untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem AI Amerika, tetapi pada masa yang sama mencari jalan untuk terus berhubung dengan China dan menjadi sebahagian daripada ekosistemnya di peringkat tempatan,” kata Shahril.
Nvidia baru-baru ini mengarahkan rakan pengilangnya menghentikan penghantaran pelayan yang mengandungi cip berteknologi tinggi syarikat itu ke Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Langkah itu susulan skandal melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia yang baru dilantik semula, Jensen Huang, dan hubungan sulitnya dengan Alice Huang, yang disyaki pegawai AS sebagai perisik Beijing.
Huang sebelum ini merupakan eksekutif di Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura, yang mempunyai anak syarikat di Malaysia dan sedang disiasat berhubung dakwaan pemindahan cip Nvidia ke China bagi mengelak peraturan AS.