
Berpakaian serba hitam, peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah kali ketiga itu berarak dari pusat beli-belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka, sambil membawa sepanduk ‘Kami Benci Rasuah’ dan melaungkan slogan ‘Hidup rakyat, tolak rasuah’.
Seorang daripada penganjur, Brendon Gan, berkata perhimpunan itu bukan bertujuan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya membantah apa disifatkannya sebagai layanan tidak adil di sisi undang-undang.
Beliau yang juga pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), berkata membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah akan mewujudkan satu duluan yang amat berbahaya.

“Adakah kita akan berdiam diri sahaja apabila ahli politik pada masa hadapan merompak Malaysia dan dibenarkan pulang ke rumah?” katanya kepada pemberita selepas perarakan tersebut.
Pihak penganjur juga menyeru kerajaan menggantung tahanan rumah Najib, sementara menunggu cabaran di mahkamah serta menjelaskan asas perundangan yang membenarkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di rumah.
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah tahanan rumah terhadap Najib pada 6 Nov selepas Umno melunaskan denda RM50 juta dalam kes SRC International.
Pada 18 Sept lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membenarkan beliau menjalani baki hukumannya yang telah dikurangkan di rumah dengan syarat beliau melunaskan denda berkenaan.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, yang menyaksikan perarakan itu dari tepi jalan, menyuarakan sokongan terhadap perjuangan penunjuk perasaan dengan menyatakan rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab membantah ketidakadilan.
“Skala protes ini mungkin kecil, namun perhimpunan sebegini wajar diadakan supaya rakyat dapat terus berjuang dan menolak rasuah di negara ini,” katanya kepada FMT.
Suasana menjadi tegang seketika di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman apabila penunjuk perasaan bertembung dengan satu kumpulan berasingan seramai kira-kira 50 orang yang berkumpul bagi menyatakan sokongan terhadap institusi diraja.
Penganjur kumpulan itu, Ahmad Yakqub Nazri, yang juga setiausaha kerja Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia, menuduh Haram menyerang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Kita perlu mendidik rakyat. Saya merasakan mereka (Haram) cuba menghasut rakyat agar membenci Agong,” katanya kepada FMT.
Kedua kumpulan bersurai sekitar 5 petang ketika hujan, selain polis menghalang penunjuk perasaan daripada meneruskan perarakan ke Dataran Merdeka.