Bila mahu dedah nilai pendapatan diperoleh Putrajaya dari Sabah, soal LDP

Bila mahu dedah nilai pendapatan diperoleh Putrajaya dari Sabah, soal LDP

Parti itu berkata kerajaan persekutuan mesti perinci bagaimana pengiraan hasil bersih Sabah seperti diperuntukkan Perlembagaan.

Naib Presiden LDP David Ong, berkata jumlah hasil yang didedahkan Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun tidak merangkumi komponen lain seperti cukai petroleum, royalti serta hasil bukan cukai.
PETALING JAYA:
Parti Liberal Demokratik (LDP) berpangkalan di Sabah menyeru kerajaan pusat menetapkan garis masa yang jelas mendedahkan jumlah sebenar hasil cukai persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

Naib Presiden LDP David Ong, berkata Putrajaya juga mesti memperincikan kaedah pengiraan kelayakan untuk Sabah terhadap hasil bersih berkenaan, lapor Daily Express.

Ong berkata, walaupun Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun menyatakan pada April lalu bahawa jumlah cukai langsung dan tidak langsung yang dikutip pada 2025 mencapai RM7.547 bilion, komponen lain seperti cukai petroleum, royalti serta hasil bukan cukai masih berada di bawah rundingan.

“Kita tidak mahu terus bergantung kepada anggaran; kita mahukan nilai hasil yang tepat dan lengkap,” katanya menurut laporan tersebut.

Katanya, 40% daripada hasil dikutip itu dijangka lebih sedikit daripada RM3 bilion. Namun, formula Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Sabah berhak menerima geran khas tahunan bersamaan dua perlima (40%) daripada hasil bersih yang melebihi jumlah bersih yang sepatutnya diperoleh pada 1963.

Ong mempersoalkan bagaimana rakyat Sabah dapat mengesahkan hak sebenar mereka tanpa diberikan nilai sebenar serta kaedah pengiraan yang muktamad. Beliau menggesa diwujudkan mekanisme pendedahan tahunan yang telus dan tarikh akhir yang jelas bagi memuktamadkan rundingan.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui perkembangan rundingan tersebut dan bilakah mereka boleh menjangkakan untuk menerima hak mereka,” katanya.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi, dalam semakan kehakiman difailkan oleh Persatuan Undang-undang Sabah, memutuskan kerajaan persekutuan telah melanggar tanggungjawab Perlembagaan kerana gagal menunaikan bahagian hasil bersih Sabah bagi ‘tahun-tahun yang hilang’, dari 1974 hingga 2021.

Pada April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan persekutuan bagi menggantung pelaksanaan, sementara menunggu pelupusan rayuan, yang telah didengar pada 29 Okt dan kini sedang menunggu keputusan.

Pada 7 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabah akan menerima geran khas interim tahun ini. Beliau berkata, satu formula tetap akan dirangka bagi mengira kelayakan hasil negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.